Perpisahan dengan GRS kerana perbezaan dasar parti: Yong

LocalPolitics
16 Oct 2025 • 1:25 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee berkata mereka berpisah dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas wujud “perbezaan yang tidak dapat dipersetujui” berhubung cadangan dasar parti itu, walaupun perbincangan diadakan secara mesra dan beradab.

“Draf manifesto yang dikemukakan oleh SAPP kepada GRS pada awal tahun ini telah pun ditolak. Cadangan utama seperti supaya GRS bertanding secara solo di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri telah ditolak mentah-mentah,” katanya.

“Inilah sebab SAPP memutuskan untuk bergabung tenaga dengan Star Sabah bagi meneruskan perjuangan memperkasa hak dan kepentingan negeri Sabah.”Ini termasuk pengembalian semula Labuan, kad pengenalan Sabah (IC Sabah) dan pelantikan Tuan Yang Terutama Negara. Cadangan berkaitan Reformasi Tanah, Pentas Benua dan pelaksanaan MA63 pula tidak diberikan perhatian berat, dakwanya.

“Memandangkan cadangan kami tidak dipersetujui oleh GRS, perjuangan kami dalam GRS menjadi kosong. Oleh itu, SAPP memutuskan untuk meneruskan perjuangan kami secara berdikari,” katanya dalam kenyataan.

“SAPP memilih untuk meneruskan perjuangan bersama sebuah parti yang dipimpin oleh seorang tokoh yang telah membuktikan keteguhan dan keberaniannya dalam memperjuangkan hak Sabah,” katanya merujuk kepada Star Sabah yang diketuai oleh Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.

Beliau memuji dedikasi Jeffrey dalam memperjuangkan hak Sabah dengan mengatakan beliau (Jeffrey) pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). “Ini menunjukkan kekuatan watak yang amat jarang dimiliki oleh seorang pemimpin,” tambah Yong.

Katanya, usaha Star Sabah-SAPP sebelum ini menjadi bukti bahawa perjuangan berterusan mereka tidak sia-sia termasuk kempen selama 12 tahun yang membawa kepada pengiktirafan Hari Sabah pada 2024 dan kempen 13 tahun memperjuangkan penyahklasifikasi laporan nahas udara Double Six.

Beliau juga menekankan tentang bagaimana usaha SAPP selama tiga tahun dari 2010 hingga 2013 untuk menjadikan MA63 isu arus perdana yang akhirnya memaksa kerajaan Persekutuan mengiktiraf kepentingannya, termasuk Borneonisasi perkhidmatan awam.

“Kini, parti-parti dari Semenanjung juga terpaksa mengangkat MA63 kerana mereka tidak mampu menentang kehendak rakyat Sabah,” katanya, dan menambah, perjalanan pada masa depan akan jauh lebih mencabar.

“Perjuangan politik bukanlah hamparan bunga mawar. Sesiapa yang menawarkan diri sebagai calon mesti sedar bahawa politik boleh menjadi keras dan mencabar.

Menjadi calon bukan satu keistimewaan; ia adalah satu pengorbanan. Akan ada lebih banyak kepahitan dan keperitan sebelum rakyat Sabah dapat merasai manisnya kejayaan,” katanya.

“Berhubung isu pembahagian kerusi dalam GRS, saya enggan mencadangkan kepada GRS kerusi mana yang ingin ditandingi oleh SAPP selagi GRS belum menunjukkan komitmen untuk bertanding secara solo di semua 73 kerusi.”