JEPUN bangkit daripada ketinggalan dua kali sebelum mengikat Belanda 2-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan F Piala Dunia 2026, sekali gus meraih satu mata berharga di Stadium Dallas, Texas.
Berdepan antara pasukan pilihan dari Eropah, skuad Samurai Blue terpaksa bekerja keras sepanjang perlawanan apabila Belanda menguasai permainan dan hampir 60 peratus penguasaan bola.
Wakil Asia itu bagaimanapun kekal berdisiplin meskipun gagal menghasilkan percubaan tepat pada sasaran pada babak pertama, sambil mengekang asakan berterusan skuad The Oranje.
Tekanan Belanda akhirnya membuahkan hasil lima minit selepas rehat apabila kapten pasukan, Virgil van Dijk menanduk masuk hantaran lintang Ryan Gravenberch untuk meletakkan pasukannya di depan.
Namun, Jepun segera memberikan reaksi positif apabila Keito Nakamura menyamakan kedudukan pada minit ke-57 menerusi rembatan kaki kanan yang menewaskan penjaga gol lawan selepas bijak memanfaatkan ruang di hadapan kotak penalti.
Kedudukan seimbang itu hanya bertahan beberapa minit apabila Chrystian Sermino sekali lagi meletakkan Belanda di hadapan menerusi rembatan lencong menarik yang gagal diselamatkan penjaga gol Jepun.
Keadaan menjadi lebih sukar buat Jepun apabila tonggak utama mereka, Takefusa Kubo terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan lutut pada pertengahan babak kedua.
Kehilangan pemain kreatif itu dilihat mampu menjejaskan usaha Jepun untuk bangkit, namun semangat juang tinggi yang dipamerkan skuad kendalian Hajime Moriyasu memastikan mereka terus memburu gol penyamaan.
Usaha berterusan Jepun akhirnya membuahkan hasil ketika perlawanan memasuki penghujung saingan.
Minit ke-88 menyaksikan situasi kelam-kabut hasil sepakan penjuru berjaya dimanfaatkan apabila tandukan Koki Ogawa terkena Daichi Kamada sebelum bola menerjah ke dalam gawang Belanda untuk mengikat kedudukan 2-2.
Jaringan lewat itu mencetuskan kegembiraan besar dalam kalangan pemain dan penyokong Jepun yang meraikan satu mata berharga selepas berdepan lawan yang memiliki reputasi tinggi di pentas dunia.
Keputusan itu turut memberikan suntikan keyakinan kepada Jepun dalam usaha memburu tempat ke pusingan kalah mati, selain membuktikan mereka mampu bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik dunia.

