
“SAYA seorang yang sering bandingkan diri dengan penyanyi lain, kenapa mereka sudah capai sesuatu tahap itu sedangkan saya belum. Kadang-kadang, perkara itu yang buatkan rasa kurang yakin, lebih-lebih lagi kalau saya rasa seperti terperangkap di situ sahaja.
“Sebab mungkin saya bukan berasal daripada golongan penyanyi yang dinaungi label besar, jadi saya bergerak secara bebas dan buat semuanya sendiri. Saya berusaha untuk menaikkan nama bersama pasukan kecil saya,”.
Demikian ujar penyanyi kelahiran Indonesia, Fadhilah Intan, 27, penyanyi yang popular dengan lagu Dawai. Besar kejayaan lagu itu sebenarnya sampaikan berjaya meniti dari bibir ke bibir rakyat Malaysia dan Singapura.
Satu perkara yang anda semua tidak tahu mengenai penyanyi yang berasal dari Surabaya ini ialah Fadhilah sebenarnya punyai sedikit cebisan ‘insecurity’ di dalam lubuk hatinya terhadap perkembangan kerjaya sendiri.
Bukan mudah mahu menapak sebagai penyanyi tanpa sokongan syarikat rakaman gergasi. Rasa kerdil melihat orang lain begitu cepat melonjak naik kerap membuatkan langkahnya tersentak seketika.
Mana tidaknya, bergerak secara bebas menuntut dia dan pasukan kecilnya memikul segala tugas di atas bahu sendiri. Setiap sen, setiap promosi dan setiap ruang kerja terpaksa dicari sendiri.
“Memang susah uruskan semuanya sendiri, walaupun kawan-kawan yang bernaung di bawah label besar pun ada perjuangan mereka tersendiri. Tetapi bagi saya, saya yang perlu buka jalan sendiri untuk lagu-lagu saya itu sangat sukar.
“Mungkin kalau saya berada di bawah label besar, rasa-rasanya saya senang sahaja keluar di TV, tapi sebab saya bergerak sendiri jadi saya tidak boleh begitu. Mungkin saya perlu menjadi seribu kali lebih bagus barulah dipanggil untuk muncul di TV,” ujarnya.

Mahu tidak mahu, dia terpaksa bekerja berlipat kali ganda lebih keras demi memastikan namanya tidak terus tenggelam. Semua platform digital yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk berhubung terus dengan mereka yang sudi mendengar.
“Mereka mungkin ada saluran-saluran yang saya tidak ada, dan kadang-kadang perkara itulah yang membuatkan saya rasa tidak yakin dengan diri sendiri.
“Saya juga bukannya jenis yang ada cerita gosip atau apa-apa untuk masuk berita hiburan, jadi mungkin orang hanya mendengar suara saya menerusi YouTube atau TikTok. Jadi cabaran utama saya adalah untuk lebih memperkenalkan siapa diri saya sebenarnya,” katanya.
Dunia hiburan masa kini memang tidak pernah sunyi daripada drama dan cerita sensasi. Malah, tidak sedikit artis yang memilih jalan pintas menumpang tuah gosip murah demi mahu dikenali dengan cara busuk.
“Bagi sesetengah orang mungkin strategi itu berkesan, tapi saya secara peribadi memang tidak mahu menggunakan cara itu. Saya masih mahu orang mengingati Fadillah sebagai seorang penyanyi yang memang mempunyai suara yang bagus dan berbakat.
“Sebab itu saya rasa gosip ini bukan diri saya. Saya tetap percaya pada bakat dan karya untuk membina tempat saya sendiri dalam industri,” katanya.

Dalam pada itu, sama ada sengaja atau tidak, tuah menyebelahi Fadhilah apabila namanya kini begitu disenangi dan mempunyai kelompok peminat di Malaysia. Mengulas mengenai hala tuju kerjayanya di sini, dia mengakui segalanya berlaku secara semula jadi tanpa sebarang perancangan yang teratur pada awalnya.
“Sebenarnya, pada awal dulu tidak sengaja dan tanpa perancangan pun untuk masuk ke industri muzik Malaysia sebab saya memang mula bekerja di Indonesia. Tetapi, ternyata lagu Dawai yang membawa saya ke sini dan buka rezeki untuk berkolaborasi, jadi saya cuma ikuti sahaja aliran serta rezeki yang Allah buka,” katanya.
Mengamati perkembangan semasa, lagu terbarunya yang berduet dengan rakan artis di Malaysia iaitu Danish Sufian menerusi lagu Simpul dilihat sebagai satu petanda positif untuk dia terus bertapak kukuh di sini.
“Akhir-akhir ini, rezeki selalu dibuka untuk berduet dengan rakan penyanyi dari Malaysia. Saya harap lagu Simpul ini dijadikan lagu perkahwinan untuk orang ramai sebab lagu ini sangat sesuai untuk majlis pernikahan.
“Setakat ini, saya memang teringin sangat mahu adakan konsert di sini, tetapi buat masa ini perkara itu masih lagi dalam angan-angan,” katanya.
The post Berjuang dengan pasukan kecil, susah mahu naikkan nama- Fadhilah Intan appeared first on Utusan Malaysia.






