
SHAH ALAM, 5 SEPT: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian, Sarawak menurun kepada 390 setakat jam 7 pagi ini, namun masih berada dalam kategori berbahaya.
Semakan menerusi laman sesawang Sistem Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati tiga lokasi di Sarawak turut merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu Kuching (277), Samarahan (271) dan Sri Aman (261).
Selain itu, 25 kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat, antaranya Bintulu (189), Samalaju (188), Mukah (183), ILP Miri (181), Sarikei (179), Miri (174), Sibu (174) dan Labuan (160).
Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Larkin, Johor (156); Batu Pahat, Johor (155); Limbang, Sarawak (155); Kluang, Johor (154); Pasir Gudang, Johor (154); Politeknik Kota Kinabalu, Sabah (154) dan Segamat, Johor (152).
Kota Tinggi serta Tangkak di Johor dan Johan Setia, Selangor masing-masing merekodkan bacaan 152, diikuti Bukit Rambai, Melaka (151), Kinamis, Sabah (134), Rompin, Pahang (128), Kapit, Sarawak (122), Balok Baru, Kuantan (113), Pengerang, Johor (108) dan Kota Kinabalu, Sabah (108).
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengisytiharkan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak, susulan keadaan jerebu yang mencapai tahap membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Pengisytiharan itu dibuat selepas bacaan IPU di daerah berkenaan melebihi 500.
Kategori Indeks Pencemaran Udara (IPU) seperti berikut:
0-50: Baik
51-100: Sederhana
101-200: Tidak sihat
201-300: Sangat tidak sihat
Lebih 300: Berbahaya






