Jerebu: Jemaah masjid, surau di Selangor disaran pakai pelitup muka

LocalHealth & Fitness
26 Aug 2026 • 11:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jerebu: Jemaah masjid, surau di Selangor disaran pakai pelitup muka
Mohammad Fahmi

SHAH ALAM - Jemaah masjid dan surau di kawasan terjejas jerebu di Selangor disaran memakai pelitup muka serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan diri.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, berkata, langkah berkenaan penting susulan penurunan kualiti udara di beberapa kawasan di negeri itu.

Beliau berkata, orang ramai juga disaran banyak minum air suam terutama mereka yang berada di kawasan mencatatkan bacaan kualiti udara kurang baik.

"Saya menyeru umat Islam, khususnya para jemaah masjid dan surau di kawasan yang terjejas agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan diri.

"Antara langkah yang boleh diambil ialah memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah, di dalam masjid atau surau dan banyakkan meminum air suam,' katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohammad Fahmi memberitahu, pihak pengurusan masjid dan surau turut diminta memberi perhatian terhadap keadaan jemaah khususnya kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan pernafasan.

Katanya, mereka yang mengalami gejala seperti batuk, sesak nafas, sakit tekak atau kurang sihat akibat jerebu dinasihatkan mengurangkan aktiviti di luar rumah dan mendapatkan rawatan perubatan sewajarnya.

"Langkah ini penting supaya tidak membahayakan para pengunjung masjid atau surau yang lain," ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi berkata, ibadah berjemaah di masjid dan surau hendaklah terus digalakkan dengan mengambil langkah pencegahan bersesuaian mengikut keadaan setempat serta nasihat pihak berkuasa.

Beliau turut mengajak umat Islam terus mengimarahkan masjid dan surau dengan penuh tertib sambil menjaga keselamatan diri, keluarga dan komuniti sepanjang keadaan jerebu.

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved