
JOHOR BAHRU – Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) dan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) di Johor ditangguhkan susulan penutupan sekolah akibat jerebu.
Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelaksanaan kedua-dua pentaksiran berkenaan akan dijadualkan semula berdasarkan ketetapan Lembaga Peperiksaan dan JPNJ.
Menurut kenyataan itu, PKSK yang dijadualkan berlangsung esok turut ditangguhkan, manakala tarikh baharu pelaksanaannya akan dimaklumkan kemudian.
“Penjadualan semula PKSK bagi calon yang terlibat akan dimaklumkan kemudian berdasarkan ketetapan JPNJ.
“Guru dan pegawai yang terlibat tidak perlu hadir bagi pelaksanaan pentaksiran tersebut,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pihak sekolah dan pusat PKSK diminta memaklumkan perubahan berkenaan kepada ibu bapa, penjaga serta calon yang terlibat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, kerajaan negeri telah mengumumkan pelanjutan penutupan sekolah selama lima hari bermula 12 hingga 16 Oktober ini sebagai langkah menjaga keselamatan dan kesihatan anak-anak Johor.
Bagaimanapun, katanya, pemakluman rasmi oleh JPNJ akan dibuat secara harian, tertakluk kepada arahan serta prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau berkata, pemakluman secara harian itu merupakan sebahagian daripada tatacara pentadbiran yang perlu dipatuhi JPNJ dan bukannya percanggahan dengan pengumuman kerajaan negeri.
“Keutamaan kita tetap sama, iaitu memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak Johor sentiasa terpelihara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, semua sekolah di Johor ditutup pada 12 Oktober ini sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.
Guru dan kakitangan sekolah turut dibenarkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan, manakala pegawai di JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu bertugas seperti biasa.
Bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan sekolah.
Bagi sekolah berasrama pula, kebenaran untuk pulang adalah tertakluk kepada keputusan pengetua berdasarkan penilaian risiko semasa serta pertimbangan aspek keselamatan dan kebajikan murid.
JPNJ bersama PPD dan institusi pendidikan akan terus memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan semasa dan ketetapan KPM.
Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya mengikuti perkembangan terkini berhubung situasi jerebu dan pemakluman rasmi pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Johor tangguh peperiksaan MPT4, PKSK appeared first on Kosmo Online.





