Jerebu: Kenali gejala, dapatkan rawatan segera elak komplikasi kesihatan

21 Jul 2025 • 9:30 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

image is not available

SHAH ALAM, 21 JULAI: Ketika fenomena jerebu mula melanda beberapa kawasan di negara ini, orang ramai dinasihatkan untuk lebih peka terhadap gejala kesihatan yang mungkin berpunca daripada pencemaran udara.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran jika mengalami simptom seperti:

– Gatal-gatal tekak dan batuk
– Sukar bernafas atau sesak nafas
– Mata pedih dan berair
– Hidung berair serta kerap bersin
– Kulit terasa gatal
– Sakit dada

Golongan yang mempunyai masalah asma, sakit jantung, penyakit paru-paru kronik, selesema dan sakit mata disarankan lebih berhati-hati dan tidak menangguhkan rawatan sekiranya keadaan bertambah buruk.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang MyHEALTH KKM atau rujuk saluran rasmi Kementerian Kesihatan.

Setakat jam 9.17 pagi ini, semakan menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (Apims), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati lapan tempat seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Lokai berkenaan ialah:

– Alor Gajah, Melaka (160)
– Temerloh, Pahang (156)
– Banting, Selangor (155)
– Nilai, Negeri Sembilan (155)
– Kemaman, Terengganu (153)
– Johan Setia, Selangor (152)
– Cheras, Kuala Lumpur (151)
– Putrajaya (124)

Apims turut merekodkan tiga kawasan mencatatkan kualiti udara pada tahap baik manakala 57 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

Pada 19 Julai lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia kini dilanda jerebu rentas sempadan yang dipercayai berpunca daripada 79 titik panas di Sumatera, Indonesia.

Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata keadaan itu disebabkan tiupan angin barat daya berdasarkan imej satelit NOAA-20 yang dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC).

Katanya, cuaca hujan atau perubahan arah angin tidak dijangka dalam masa terdekat, menjadikan kesan jerebu dijangka berterusan.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka serta mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca, media sosial MetMalaysia atau hubungi talian 1-300-22-1638.

image is not available

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved