Anwar mahu urusan kerajaan dipermudah, sistem lebih cepat & telus demi pelabur dan rakyat

LocalPolitics
17 Jul 2025 • 11:05 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru supaya sistem kerja dalam agensi kerajaan diperkemas segera supaya lebih cepat, lebih telus dan tidak menyusahkan orang ramai atau pelabur.

Katanya, ini penting bagi memastikan Malaysia terus berkembang dan menarik lebih banyak pelaburan, terutama selepas negara berjaya naik 11 anak tangga dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025, iaitu dari kedudukan ke-34 ke tangga ke-23.

“Antara langkah penting ialah ubah cara kerja dalam perkhidmatan awam supaya lebih efisien, telus dan berintegriti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Anwar juga menegaskan kejayaan sebenar bukan sekadar naik dalam ranking dunia, tetapi apabila rakyat dapat rasa perubahan melalui perkhidmatan kerajaan yang lebih mudah dan tidak membebankan.

Bukan untuk pelabur sahaja, tapi demi rakyat juga

Perdana Menteri menekankan pembangunan dan kemajuan negara mesti sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

“Yang paling utama, kita mahu pastikan kesejahteraan rakyat kekal menjadi teras kepada semua usaha pembangunan,” katanya.

Beliau turut menyentuh tentang pentingnya perancangan pembangunan fizikal seperti penggunaan tanah dan susun atur negeri dibuat secara lebih tersusun agar manfaatnya dapat dinikmati semua.