Jerebu, konflik Timur Tengah jejaskan hotel Sunway REIT, kadar penghunian susut kepada 74%

LocalBusiness & Finance
10 Nov 2026 • 6:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jerebu, konflik Timur Tengah jejaskan hotel Sunway REIT, kadar penghunian susut kepada 74% Image from: Jerebu, konflik Timur Tengah jejaskan hotel Sunway REIT, kadar penghunian susut kepada 74% sarah10/11/2026 - 18:04 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov - Gangguan jerebu di Lembah Klang dan konflik berterusan di Timur Tengah memberi tekanan kepada perniagaan hotel Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT), dengan kadar penghunian purata merosot kepada 74% pada suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding 76% dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Derek Teh Wan Wei berkata, kedua-dua faktor itu menyebabkan segmen hotel berdepan cabaran sementara, walaupun perniagaan pusat beli-belah, pejabat dan hartanah perindustrian kumpulan terus menunjukkan prestasi yang menggalakkan.

 

Menurut kenyataan Sunway REIT hari ini, hasil segmen hotel menyusut 14% kepada RM30.2 juta berbanding RM35 juta pada suku ketiga 2025, manakala pendapatan hartanah bersih (NPI) segmen berkenaan turut merosot 14% kepada RM29 juta daripada RM33.9 juta.

 

Kemerosotan itu melibatkan sebahagian besar aset hotel milik Sunway REIT, kecuali Sunway Putra Hotel, sekali gus mendorong kumpulan memperkukuh strategi pemasaran, penetapan harga serta aktiviti persidangan, mesyuarat dan acara bagi meningkatkan permintaan.

 

Sunway REIT harap Tahun Melawat Malaysia, Sukan SEA 2027 pulihkan hotel

Bagi tempoh akan datang, Sunway REIT menjangkakan musim percutian hujung tahun, kempen Tahun Melawat Malaysia yang dilanjutkan hingga 2027 serta penganjuran Sukan SEA ke-34 pada tahun depan dapat menyokong pemulihan permintaan hotel.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak menetapkan sasaran khusus bagi kadar penghunian atau peningkatan hasil yang dijangka daripada acara berkenaan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih ramai pengunjung dan pelanggan korporat.

 

Keputusan kewangan suku ketiga 2026

Bagi keseluruhan operasi, Sunway REIT mencatatkan hasil RM232.3 juta pada suku ketiga 2026, susut 1.7% daripada RM236.4 juta setahun sebelumnya, manakala pendapatan hartanah bersih berkurang 3.9% kepada RM173.8 juta daripada RM180.9 juta. Keuntungan sebelum cukai direalisasi yang boleh diagihkan kepada pemegang unit pula menurun 19.1% kepada RM116.1 juta, berbanding RM143.6 juta yang merangkumi keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan kampus universiti dan kolej Sunway pada tahun lalu.

 

Bagaimanapun, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, hasil keseluruhan meningkat 1.3% kepada RM675.7 juta, manakala pendapatan hartanah bersih bertambah 1.7% kepada RM501.2 juta. Agihan seunit turut meningkat 10.6% kepada 6.28 sen berbanding 5.68 sen dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pusat beli-belah terus menjadi pemacu pertumbuhan

Segmen peruncitan kekal sebagai penyumbang utama apabila hasilnya meningkat 6% kepada RM176.6 juta pada suku ketiga, disokong prestasi Sunway Pyramid, Sunway Carnival dan Sunway Putra Mall. Sunway REIT yang memiliki 28 hartanah bernilai keseluruhan RM10.3 bilion turut menerima peningkatan penarafan kredit korporat daripada AA2 kepada AA1 oleh RAM Ratings pada September lalu, mencerminkan kedudukan kewangan dan kekuatan portfolio hartanah kumpulan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved