sarah30/10/2026 - 09:30 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt - Kekosongan beberapa hartanah industri dan penggantungan kutipan sewa susulan kebakaran Wisma Kemajuan pada Februari lalu menjejaskan prestasi Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT), menyebabkan keuntungan terasnya menyusut 6.3% kepada RM144.5 juta bagi sembilan bulan pertama 2026.
Menurut RHB Investment Bank (RHB Investment), prestasi itu berada di bawah jangkaan apabila hanya memenuhi 69% daripada unjuran keuntungan tahun penuh firma penyelidikan berkenaan, berikutan pemulihan kadar penghunian hartanah yang lebih perlahan daripada dijangkakan.
Hasil Axis REIT turut merosot 1% kepada RM270.1 juta, manakala pendapatan hartanah bersih (NPI) menyusut 2.6% kepada RM231.3 juta, dengan kadar penghunian keseluruhan portfolio kekal pada 93% berbanding 97% pada suku kedua 2025.
RHB Investment berkata, kehilangan pendapatan sewa membabitkan Bukit Raja Distribution Centre dan Axis Shah Alam Distribution Centre 3, selain penggantungan sewa di Wisma Kemajuan, menjadi antara faktor utama yang menjejaskan prestasi kumpulan.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan pendapatan Axis REIT pulih secara beransur-ansur mulai suku keempat 2026, disokong peningkatan kadar penghunian dan sumbangan pengambilalihan dua hartanah bernilai RM166 juta yang selesai pada Ogos dan September lalu.
Kadar penghunian Bukit Raja Distribution Centre dijangka meningkat daripada 77% kepada 91% menjelang Januari 2027, manakala Axis Shah Alam Distribution Centre 3 sudah mencapai penghunian penuh lebih awal daripada jadual.
Sementara itu, BIMB Securities berkata, tiga pengambilalihan hartanah bernilai RM254 juta di Telok Gong, Pulau Indah dan Padang Meha dijangka menjadi antara pemacu pertumbuhan pendapatan Axis REIT pada 2027, selain pembangunan baharu di Pasir Gudang dan Bukit Raja.
Namun, BIMB Securities menyemak turun unjuran pendapatan bersih direalisasikan bagi 2026 sebanyak 10.4% kepada RM193.3 juta, manakala RHB mengurangkan unjuran keuntungan bagi tempoh 2026 hingga 2028 antara 2% hingga 6% berikutan jangkaan pendapatan sewa yang lebih rendah.
Walaupun berdepan tekanan pendapatan, kedua-dua firma penyelidikan mengekalkan saranan 'BELI' terhadap Axis REIT, dengan RHB Investment menetapkan harga sasaran RM2.30 berbanding RM2.44 sebelumnya, sementara BIMB Securities menurunkannya kepada RM2.31 daripada RM2.37, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 29% hingga 30% daripada harga rujukan RM1.78.
Axis REIT turut mengumumkan agihan pendapatan interim sebanyak 2.35 sen seunit bagi suku ketiga 2026, yang akan dibayar pada 30 November ini, menjadikan jumlah agihan bagi sembilan bulan pertama sebanyak 7.15 sen seunit.- DagangNews.com






