Jerebu: Kualiti udara merosot, 4 kawasan di Sarawak catat bacaan IPU bahaya

LocalEnvironment
31 Aug 2026 • 10:19 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jerebu: Kualiti udara merosot, 4 kawasan di Sarawak catat bacaan IPU bahaya
Empat kawasan di Sarawak dikenal pasti mencatatkan bacaan IPU tahap bahaya. Foto fail Bernama

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Situasi jerebu di Sarawak menyaksikan kualiti udara kian merosot dengan empat kawasan dikenal pasti mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tahap bahaya setakat jam 9 pagi ini, berbanding tiga semalam.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Sri Aman menjadi lokasi terbaharu dengan bacaan IPU tahap bahaya.

Bacaan IPU di stesen pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencecah 475, diikuti Samarahan (334), Sri Aman (330) dan Kuching (324).

Selain itu, tiga kawasan yang mencatatkan bacaan tahap sangat tidak sihat melibatkan Sarikei, iaitu 271, diikuti Sibu (219) dan Mukah (214).

Kawasan merekodkan bacaan tidak sihat pula, antaranya Samalaju (180), Miri (171), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (169), Kapit (164), Bintulu (161) dan Limbang (159).

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), manakala IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai bahaya.

Data dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.

Sementara itu, 14 kawasan turut mencatatkan IPU pada tahap tidak sihat setakat jam 9 pagi ini, melibatkan Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Menurut portal APIMS, bacaan IPU di Sungai Petani, Kedah ialah 157, diikuti Seberang Jaya dan Seberang Perai di Pulau Pinang masing-masing mencatatkan 155 dan 154 serta Minden (152), dan Taiping di Perak (141). - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved