Jerebu makin teruk! Fahmi tegaskan, tiada syarikat sawit Malaysia terlibat aktiviti pembakaran

LocalEnvironment
16 Oct 2026 • 8:28 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Tiada syarikat perladangan Malaysia setakat ini dikenal pasti terlibat dalam aktiviti pembakaran yang menyumbang kepada masalah jerebu di Indonesia.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan hasil semakan silang melibatkan syarikat tempatan yang mengusahakan ladang kelapa sawit di negara jiran berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kebanyakan lokasi pembakaran berada di luar kawasan konsesi sawit yang dikendalikan syarikat Malaysia.

“Hari ini, Jemaah Menteri membincangkan beberapa perkara berkait isu jerebu yang melanda dan terus memberi kesan kepada rakyat Malaysia.
“Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Menteri Perladangan dan Komoditi) memaklumkan bahawa hasil semakan silang dengan syarikat Malaysia yang mempunyai konsesi sawit menunjukkan kebanyakan daripada apa disaksikan, aktiviti pembakaran itu berlaku di luar konsesi sawit milik syarikat Malaysia,” katanya.

Image from: Jerebu makin teruk! Fahmi tegaskan, tiada syarikat sawit Malaysia terlibat aktiviti pembakaran

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan bahawa keadaan cuaca terlalu kering di Kalimantan turut menyumbang kepada peningkatan risiko kebakaran.

Katanya, terdapat kawasan di wilayah berkenaan yang tidak menerima hujan selama lebih 100 hari, sekali gus memburukkan keadaan kebakaran yang berlaku.

Sementara itu, sebuah ladang Genting Plantations melibatkan kawasan kira-kira lima hektar turut dilaporkan terjejas selepas api merebak dari kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kebakaran tersebut bukan berpunca daripada aktiviti pembakaran di dalam ladang berkenaan dan api telah berjaya dipadamkan.

“Api dikatakan marak dari luar, namun berjaya dipadamkan dan saiz ladang itu ialah kira-kira lima hektar… tetapi (punca kebakaran) bukan berlaku dari dalam (ladang), cuma api (merebak) dari luar,” katanya.

Jerebu dijangka beransur kurang dalam dua minggu - NRES

Susulan perkembangan itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan meneruskan sesi libat urus khas bersama syarikat perladangan tempatan yang beroperasi di Indonesia bagi menangani isu kebakaran dan jerebu rentas sempadan.

Sumber: BH Online (Mohd Iskandar Ibrahim)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved