Jerebu: Kebanyakan kebakaran berlaku di luar konsesi sawit syarikat Malaysia - Kabinet diberitahu

LocalEnvironment
16 Oct 2026 • 4:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jerebu: Kebanyakan kebakaran berlaku di luar konsesi sawit syarikat Malaysia - Kabinet diberitahu Image from: Jerebu: Kebanyakan kebakaran berlaku di luar konsesi sawit syarikat Malaysia - Kabinet diberitahu sarah16/10/2026 - 16:32 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt - Kebanyakan aktiviti pembakaran yang dikaitkan dengan isu jerebu melanda negara dikesan berlaku di luar kawasan konsesi sawit milik syarikat Malaysia di Indonesia, berdasarkan semakan silang yang dijalankan dengan syarikat perladangan tempatan.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad memaklumkan perkara itu kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet hari ini, susulan kebimbangan mengenai kebakaran hutan dan tanah di Indonesia yang dikaitkan dengan operasi syarikat perladangan Malaysia.

 

Menurut maklumat yang dibentangkan, sebuah ladang milik Genting Plantations di Kalimantan turut berdepan kejadian kebakaran apabila api merebak dari luar kawasan konsesi, bukannya berpunca daripada aktiviti pembakaran di dalam ladang berkenaan.

 

Kebakaran yang melibatkan kawasan ladang seluas lima hektar itu telah berjaya dipadamkan.

 

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

 

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan meneruskan sesi libat urus khas dengan syarikat-syarikat perladangan Malaysia yang mempunyai operasi di Indonesia bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung keadaan semasa.

 

Isu jerebu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin ini, dengan perkembangan lanjut dijangka dimaklumkan selepas mesyuarat tersebut.

 

hz

 

Jerebu berisiko jejaskan ekonomi negara

Sebelum ini, DagangNews.com pada 9 Oktober melaporkan Kementerian Perladangan dan Komoditi mendapatkan maklumat daripada enam syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Kalimantan susulan laporan mengaitkan syarikat tempatan dengan kejadian kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.

 

Dalam laporan berasingan pada 7 Oktober, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) menjelaskan kebakaran yang dikaitkan dengan anak syarikatnya, PT Menteng Jaya Sawit Perdana (PT MJSP), berpunca dari luar kawasan konsesi, dengan semua kejadian telah dipadamkan.

 

Sementara itu, DagangNews.com pada 14 Oktober melaporkan Malaysia berisiko mengalami kerugian antara RM600 juta hingga RM1.5 bilion sebulan sekiranya jerebu berpanjangan, menurut Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Yeah Kim Leng.

 

Anggaran tersebut mengambil kira gangguan aktiviti perniagaan, peningkatan kos kesihatan dan kemerosotan produktiviti pekerja, dengan sektor pelancongan, penerbangan, pertanian serta pengangkutan antara yang berpotensi terjejas. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved