Jerebu: Malaysia siap sedia, tunggu persetujuan rasmi Indonesia

LocalEnvironment
19 Oct 2026 • 12:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jerebu: Malaysia siap sedia, tunggu persetujuan rasmi Indonesia

KUALA LUMPUR: Malaysia telah bersiap sedia dan hanya menunggu persetujuan rasmi Indonesia untuk memulakan operasi bantuan memadamkan kebakaran hutan dan tanah di Sumatera dan Kalimantan yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan berkenaan dilaksanakan atas arahan dan komitmen Perdana Menteri berikutan krisis jerebu yang turut menjejaskan beberapa negara jiran termasuk Malaysia, Singapura dan Timor Leste.

Beliau berkata, Malaysia kekal komited membantu negara jiran berkenaan meskipun jumlah aset dan anggota yang terlibat terhad berbanding keseluruhan tenaga pembanterasan kebakaran di lapangan.

Katanya, tersebut melibatkan pesawat Bombardier, tiga helikopter serta 50 anggota atas arahan dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri juga telah menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berhubung perkara (operasi bantuan) itu.

“Bantuan kita, sekecil mana pun, adalah satu tanda muhibah yang baik untuk membantu negara jiran yang terdeka.

“Biarpun asetnya sedikit dan jumlah anggotanya kecil berbanding dengan seluruh tenaga untuk pembanterasan kebakaran yang mengakibatkan jerebu ini di Indonesia, tetapi kita komited untuk meneruskan bantuan ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan akan membawa isu jerebu rentas sempadan ke mesyuarat peringkat Menteri Luar ASEAN sebelum Sidang Kemuncak ke-49 blok itu di Manila, Filipina, bulan depan bagi membincangkan mekanisme serantau yang lebih berkesan menangani masalah terbabit.

Jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan kini merebak hingga ke Jakarta, mencetuskan kebimbangan terhadap kesihatan penduduk apabila kualiti udara di beberapa kawasan mencecah tahap tidak sihat.

Penyebaran asap itu mendorong agensi meteorologi Indonesia menasihatkan penduduk supaya mengehadkan aktiviti luar. – UTUSAN 

The post Jerebu: Malaysia siap sedia, tunggu persetujuan rasmi Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved