Malaysia tawar bantuan pesawat, tiga helikopter, 50 anggota bantu Indonesia

LocalEnvironment
19 Oct 2026 • 1:32 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Malaysia tawar bantuan pesawat, tiga helikopter, 50 anggota bantu Indonesia

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Malaysia menawarkan bantuan sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter dan kira-kira 50 anggota bagi membantu Indonesia memadam kebakaran hutan, namun pelaksanaan misi itu masih menunggu persetujuan rasmi negara berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia bersiap sedia untuk menggerakkan aset dan anggota berkenaan, sebaik menerima persetujuan tersebut.

Beliau berkata walaupun jumlah bantuan itu kecil berbanding keseluruhan kekuatan pemadaman kebakaran di Indonesia, ia mencerminkan komitmen Malaysia untuk membantu negara jiran itu.

“Bantuan kita sekecil mana pun merupakan satu gesture (isyarat) yang baik untuk membantu negara jiran terdekat. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menghubungi Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengenai perkara ini.

“Kita komited untuk meneruskan bantuan ini bagi menangani masalah jerebu yang akhirnya sampai ke Malaysia, Singapura, Timor-Leste dan Indonesia sendiri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Road Safety Congress (RSC) 2026 di sini hari ini.

Terdahulu, Malaysia menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama dengan agensi keselamatan lain, menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah serta masalah jerebu.

Prabowo dilapor telah meluluskan tawaran bantuan asing bagi menangani krisis berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan ancaman banjir selepas isu jerebu selesai.

Beliau berkata kerajaan mahu memastikan mangsa banjir dapat dipindahkan lebih awal, melalui pengoptimuman penggunaan sistem amaran awal yang sedang dilaksanakan.

“Kesiapsiagaan ini akan diteruskan dan kita berterima kasih kerana ia turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain jabatan dan agensi kerajaan.

“Dua minggu lepas, kita telah mengadakan Bulan Kesiapsiagaan peringkat nasional di Ipoh, yang berjalan dengan baik dan kita berharap kejadian banjir kali ini dapat dikurangkan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved