
JOHOR BAHRU – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menitahkan agar kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat mengambil tindakan proaktif serta kolektif bagi menangani impak jerebu terhadap pelajar dan keluarga secara menyeluruh.
Baginda bertitah, usaha bersepadu itu amat penting bukan sahaja untuk mendepani kesan fizikal, malah merangkumi aspek sokongan psikologi pelajar yang terjejas akibat krisis pencemaran udara.
“Tindakan kolektif terutamanya daripada pihak kerajaan dan sektor swasta bagi merancang langkah proaktif diperlukan bagi menangani kesan fizikal serta psikologi jerebu terhadap pelajar dan keluarga.
“Di samping itu, kerjasama erat daripada komuniti setempat amat diperlukan untuk memperkasa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) agar lebih berkesan.
“Pihak berkaitan juga perlu merangka pelan strategi bagi jangka masa panjang, bukannya sekadar penyelesaian sementara sewaktu krisis jerebu melanda,” titah Seri Paduka Baginda.
Baginda bertitah demikian pada Sesi Mengadap Takzim Kerajaan Negeri Johor, Ibu Bapa serta Warga Pendidik Berhubung Isu Jerebu dan Persekolahan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Kesidang, Menara MBJB, di sini semalam.
Turut berangkat mencemar duli ke majlis tersebut ialah Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Hadir sama menyertai sesi berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali.
Dalam pada itu, Raja Permaisuri Agong turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah serta pihak Sunway Healthcare atas kesudian menyumbangkan pelitup muka untuk kegunaan murid-murid sekolah di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Baginda turut memuji komitmen Pengerusi YTL Communications, Tan Sri Patrick Yeoh dalam membekalkan kad SIM bagi menyokong akses pembelajaran digital pelajar.-KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Raja Permaisuri Agong gesa strategi jangka panjang lindungi pelajar appeared first on Kosmo Online.






