Kerjasama Malaysia dengan Indonesia bagi menangani jerebu rentas sempadan perlu menghasilkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan yang berkesan, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh.

Foto: Berita Harian
Memetik laporan Utusan Malaysia, beliau berkata usaha menerusi saluran diplomatik perlu membawa hasil yang boleh diukur bagi memastikan masalah tersebut tidak terus berulang setiap tahun sehingga menjejaskan kesihatan rakyat serta kualiti udara.
“Diplomasi mesti menghasilkan tindakan yang boleh diukur, manakala tindakan penguatkuasaan mesti berasaskan bukti dan juga undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas-Kuala Kangsar) mengenai tindakan diplomatik dan kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan Indonesia untuk mengurangkan risiko jerebu rentas sempadan.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai ruang perundangan untuk menggubal Akta Jerebu Rentas Sempadan.
Bagaimanapun, katanya, cabaran mendapatkan bukti bagi menentukan punca pencemaran serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab perlu diatasi supaya tindakan undang-undang dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Maklumat yang diperlukan termasuk lokasi dan koordinat kawasan kebakaran, butiran pemilikan tanah serta pihak yang dikaitkan dengan pencemaran jerebu rentas sempadan.
“Kalau kita nak lakukan, sebenarnya itu semua dalam ruang lingkup kuasa perundangan di bawah kerajaan dan juga diluluskan di peringkat Dewan ini.
“Tetapi dalam mana-mana penggubalan akta, ada kaedah dan mekanisme supaya perkara itu benar-benar menjadi satu keperluan dan boleh dilaksanakan, akhirnya bertindak sebagai satu kaedah punitif atau hukuman,” jelasnya.

Foto: Astro Awani
Penjelasan itu diberikan ketika menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang membangkitkan cadangan penggubalan akta tersebut susulan kejadian jerebu rentas sempadan yang berulang.
Syahredzan turut mempersoalkan keberkesanan undang-undang seumpamanya di Singapura.
Menurut Syed Ibrahim, keperluan terhadap perundangan berkenaan perlu diteliti bersama kaedah pelaksanaannya agar penguatkuasaan dapat dibuat berasaskan bukti dan peruntukan undang-undang.
Sumber: Utusan Malaysia (Hafiz Saidina)






