Bencana jerebu, bila akan berakhir?

LocalEnvironment
21 Oct 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bencana jerebu, bila akan berakhir?

JEREBU rentas sempadan kembali mencemarkan ruang udara Malaysia. Ruang udara yang lazimnya menawarkan langit yang biru, bertukar kelabu.

Udara yang bersih dan menyegarkan menjadi ancaman kesihatan, manakala kehidupan harian rakyat sekali lagi terpaksa disesuaikan dengan krisis pencemaran yang berulang. Persoalannya, sampai bilakah Malaysia dan negara-negara jiran harus berdepan dengan bencana yang sama saban tahun.

Krisis jerebu yang melanda rantau ini pada Oktober 2026 memperlihatkan bahawa isu pencemaran udara rentas sempadan masih belum diselesaikan secara tuntas.

Kebakaran hutan dan tanah di Indonesia, yang diburukkan lagi oleh keadaan cuaca yang kering ekoran fenomena El Nino, telah menghasilkan asap yang bergerak merentasi sempadan negara.

Malaysia turut menerima kesannya apabila kualiti udara merosot sehingga beberapa kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Kesan ekonomi
Dari sudut ekonomi, krisis ini boleh meningkatkan perbelanjaan kesihatan, mengurangkan produktiviti pekerja, mengganggu operasi perniagaan dan menjejaskan sektor pelancongan. Apabila pekerja mengalami masalah pernafasan atau terpaksa mengambil cuti, produktiviti organisasi turut terjejas.

Peniaga kecil yang bergantung pada pelanggan luar, penjaja, pengusaha aktiviti rekreasi dan sektor pelancongan mungkin kehilangan pendapatan apabila orang ramai mengehadkan aktiviti di luar rumah.

Operasi pengangkutan juga boleh terjejas sekiranya jarak penglihatan merosot.

Dalam keadaan tertentu, penerbangan, perjalanan darat dan aktiviti pelabuhan memerlukan langkah keselamatan tambahan. Industri pertanian pula berpotensi mengalami gangguan apabila asap, kekurangan cahaya matahari dan keadaan cuaca kering berlaku secara berpanjangan.

Kerugian sebenar bukan sekadar nilai jualan yang hilang. Tetapi negara turut menanggung kos rawatan, langkah kecemasan, pemantauan udara, pengurusan bencana dan pemulihan alam sekitar.

Oleh itu, jerebu seharusnya dinilai sebagai risiko ekonomi negara. Kos pencegahan kebakaran dan pengurusan tanah yang mampan perlu dibandingkan dengan kerugian besar yang ditanggung apabila bencana berlaku.

Institusi pendidikan
Penutupan sekolah mungkin merupakan keputusan yang perlu bagi melindungi kesihatan murid dan warga pendidik, tetapi langkah ini turut mengganggu proses pembelajaran, jadual peperiksaan dan rutin keluarga.

Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) boleh membantu meneruskan pembelajaran apabila sesuai. Namun, keberkesanannya bergantung pada capaian internet, kemudahan peranti dan komputer, kesediaan murid dan guru serta sokongan ibu bapa.

Tidak semua keluarga mempunyai kemudahan yang sama.

Ibu bapa yang bekerja juga perlu mengatur penjagaan anak secara mendadak. Keluarga berpendapatan rendah mungkin berhadapan dengan beban tambahan apabila perlu mengambil cuti atau mencari penjagaan alternatif.

Golongan pekerja luar, warga emas, kanak-kanak dan individu yang mempunyai masalah kesihatan pula lebih terdedah kepada kesan udara tercemar.

Dari perspektif kesejahteraan sosial hidup masyarakat, jerebu bukan sekadar mengurangkan keselesaan hidup. Ia mengehadkan kebebasan masyarakat untuk bekerja, belajar, bersukan dan menjalani kehidupan harian dalam persekitaran yang selamat.

Siapakah yang harus bertanggungjawab?
ASEAN telah mempunyai kerangka kerjasama melalui Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan sejak 2002. Perjanjian tersebut menyediakan asas untuk pemantauan, pencegahan, perkongsian maklumat, bantuan kecemasan dan kerjasama teknikal.

Persoalannya bukan lagi sama ada rantau ini mempunyai perjanjian atau tidak, tetapi sejauh mana perjanjian itu menghasilkan tindakan pencegahan yang berkesan dalam menangani isu ini dan ia boleh diukur.

Malaysia, sebagai sebuah negara yang terkesan secara langsung oleh bencana ini, perlu menggunakan saluran diplomatik dan mekanisme ASEAN secara lebih tegas untuk menuntut tindakan pencegahan yang jelas daripada negara yang terjejas oleh kebakaran serta pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengawalnya.

Antara langkah dan cadangan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia ialah mendesak Indonesia memperkukuh penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka yang menyalahi undang-undang, termasuk mengenal pasti syarikat, pemilik konsesi dan individu yang bertanggungjawab.

Tindakan perlu berdasarkan bukti dan bukannya umum terhadap seluruh negara.

Malaysia juga perlu mencadangkan pelan tindakan serantau yang mempunyai sasaran tahunan, petunjuk prestasi dan pelaporan terbuka. Antaranya ialah pengurangan titik panas, pemulihan tanah gambut, peningkatan kawasan yang dipantau serta masa tindak balas terhadap kebakaran.

Seterusnya, tindakan secara teknikal perlu dilakukan, seperti mekanisme perkongsian data satelit, titik panas, arah angin dan bacaan pencemaran udara yang perlu diperkukuh.

Maklumat yang tepat membolehkan negara-negara terlibat mengesan sumber kebakaran lebih awal dan menyelaras bantuan sebelum asap merebak.

Malaysia juga perlu menggesa pelaksanaan tanggungjawab korporat yang lebih ketat terhadap syarikat yang mempunyai operasi pertanian, perladangan atau konsesi tanah di kawasan berisiko.

Rantaian bekalan yang bertanggungjawab, audit alam sekitar dan tindakan undang-undang terhadap pelanggaran perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian.

Akhir sekali, kerajaan Malaysia perlu menyediakan mekanisme kecemasan yang lebih tersusun, termasuk bekalan kesihatan, panduan perlindungan kepada golongan rentan, pelan kesinambungan pendidikan serta bantuan kepada sektor ekonomi yang terjejas.

Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, Malaysia wajar menawarkan bantuan teknikal, kepakaran pemadaman kebakaran dan perkongsian teknologi kepada Indonesia apabila diperlukan.

Diplomasi yang berkesan bukan bermaksud saranan tetapi tindakan menggabungkan ketegasan terhadap tanggungjawab dengan kerjasama untuk menyelesaikan punca masalah.

Jangan biarkan jerebu menjadi norma baharu
Krisis jerebu 2026 seharusnya menjadi titik perubahan kepada pendekatan pengurusan alam sekitar di Asia Tenggara. Kita tidak boleh terus mengulangi kitaran yang sama.

Selagi pembakaran tidak dicegah, tanah gambut tidak diurus dengan baik dan pihak yang bertanggungjawab tidak dikenakan tindakan sewajarnya, krisis yang sama berpotensi untuk berulang.

Pada masa yang sama, Malaysia perlu konsisten melaksanakan agenda pembangunan rendah karbon, memperluas penggunaan tenaga bersih, dan memperkukuh pengangkutan mampan. Namun, usaha domestik itu perlu disertai tadbir urus alam sekitar rentas sempadan yang lebih berkesan.

Semua orang perlu mengetahui dan memahami bahawa udara bersih adalah hak asas manusia yang akan menentukan kesihatan, produktiviti, kesejahteraan dan kualiti hidup manusia.

Negara-negara ASEAN perlu memahami bahawa pencemaran udara tidak mengenal sempadan politik, dan kerjasama alam sekitar tidak boleh sekadar menjadi agenda mesyuarat tahunan.

Ia perlu dipergiatkan dan tindakan yang berkesan perlu digerakkan dengan segera, iaitu keberanian politik, penguatkuasaan undang-undang, tanggungjawab korporat dan kesungguhan negara-negara serantau untuk mencegah dan memastikan bencana ini tidak berulang dan melindungi kepentingan rakyat secara bersama. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Haryati Shafii ialah Pensyarah Jabatan Pengurusan Pembinaan, Penyelidik Utama Centre of Sustainable Infrastructure & Environmental Management (CSIEM), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

The post Bencana jerebu, bila akan berakhir? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved