Jerebu: Sekolah di Johor belum dibuka, penutupan dilanjutkan hingga 23 Oktober

LocalEnvironment
17 Oct 2026 • 8:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jerebu: Sekolah di Johor belum dibuka, penutupan dilanjutkan hingga 23 Oktober
Penutupan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Johor dilanjutkan selama lima hari lagi bermula 19 hingga 23 Oktober ini susulan keadaan jerebu dan kualiti udara yang masih membimbangkan. Foto hiasan

JOHOR BAHRU - Penutupan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Johor dilanjutkan selama lima hari lagi bermula 19 hingga 23 Oktober ini susulan keadaan jerebu dan kualiti udara yang masih membimbangkan.

Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hasil Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor pada tengah hari Sabtu.

"Keputusan berkenaan mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang masih membimbangkan tanpa perubahan ketara, selain pergerakan angin ke arah utara dan unjuran cuaca bagi tempoh tiga hingga empat hari akan datang.

"Keputusan pembukaan semula institusi pendidikan akan dinilai berdasarkan perkembangan kualiti udara, ramalan cuaca serta penilaian kesihatan semasa,” katanya dalam kenyataan pada malam Sabtu.

Sebelum ini, sekolah di Batu Pahat ditutup pada 7 Oktober lalu susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang melebihi 200 sebelum penutupan diperluaskan ke seluruh Johor pada 8 dan 9 Oktober.

Penutupan kemudian dilanjutkan dari 12 hingga 16 Oktober berikutan keadaan jerebu yang masih membimbangkan.

Dalam pada itu, Muhammad Naqib berkata, kebimbangan turut disuarakan pihak kesihatan berhubung risiko pendedahan berpanjangan kepada pencemaran udara, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan berisiko.

Katanya, sebanyak 30,648 kes asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) direkodkan sepanjang Oktober ini, dengan peningkatan mingguan sebanyak 20.7 peratus.

Bagaimanapun, pengecualian secara terhad boleh dipertimbangkan bagi murid yang perlu menduduki peperiksaan atau pentaksiran tertentu, tertakluk kepada penyelarasan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ketat.

Beliau berkata, pengecualian itu tidak membabitkan sebarang aktiviti tambahan, manakala JPNJ akan memperincikan SOP pelaksanaan selaras dengan ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

JPNJ juga akan mendapatkan maklum balas terkini daripada Lembaga Peperiksaan bagi menyelaraskan jadual peperiksaan dan pentaksiran antara sekolah di bawah KPM dengan sekolah agama Johor.

“Pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan di samping pematuhan terhadap garis panduan kesihatan yang ditetapkan.

“Pada masa sama, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sepanjang tempoh penutupan berpandukan Manual PdPR Versi 2.0 oleh KPM,” katanya.

Sementara itu, keputusan untuk meneruskan operasi atau menutup Institusi Pendidikan Swasta (IPS) dan pusat penjagaan kanak-kanak tertakluk kepada pertimbangan institusi masing-masing dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.

Antara ketetapan itu termasuk pengoperasian di kawasan tertutup serta pemakaian pelitup muka.

Muhammad Naqib berkata, sebarang perkembangan terkini atau perubahan arahan berkaitan pengoperasian sekolah akan dimaklumkan lebih awal melalui saluran rasmi JPNJ dan Media Digital Johor (MDJ).

Beliau berkata, kerajaan negeri memahami penutupan berpanjangan memberi kesan kepada rutin pembelajaran murid dan guru, pengurusan institusi pendidikan serta urusan harian ibu bapa dan penjaga.

Bagaimanapun, katanya, keselamatan dan kesihatan murid perlu terus diutamakan, di samping memastikan keperluan pendidikan dipenuhi melalui pendekatan bersesuaian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved