
JOHOR BAHRU – Penutupan institusi pendidikan di seluruh Johor dilanjutkan selama lima hari lagi bermula 19 hingga 23 Oktober ini susulan keadaan jerebu yang masih membimbangkan dan kemerosotan kualiti udara.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hasil Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor pada tengah hari tadi.
Beliau berkata, keputusan berkenaan turut mengambil kira titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, khususnya kanak-kanak.
“Laporan pemantauan menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih kekal pada paras membimbangkan tanpa perubahan ketara.
“Selain itu, pergerakan angin ke arah utara serta unjuran cuaca bagi tempoh tiga hingga empat hari akan datang turut diambil kira sebelum keputusan pembukaan semula sekolah dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kebimbangan turut disuarakan dari sudut kesihatan awam berikutan risiko pendedahan berpanjangan kepada pencemaran udara, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan berisiko.
Katanya, sebanyak 30,648 kes asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) direkodkan sepanjang Oktober ini, dengan peningkatan kes mingguan sebanyak 20.7 peratus.
Bagaimanapun, pengecualian secara terhad boleh dipertimbangkan bagi murid yang perlu menduduki peperiksaan atau pentaksiran tertentu, tertakluk kepada penyelarasan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ketat.
Jelasnya, JPNJ akan memperincikan pelaksanaan SOP berdasarkan ketetapan Kementerian Pendidikan, termasuk menyelaras jadual peperiksaan antara sekolah di bawah KPM dengan sekolah agama Johor. Murid yang terlibat diwajibkan memakai pelitup muka, manakala Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sepanjang tempoh penutupan mengikut Manual PdPR Versi 2.0.
Dalam pada itu, pengoperasian institusi pendidikan swasta dan pusat penjagaan kanak-kanak tertakluk kepada pertimbangan pihak institusi masing-masing dengan syarat aktiviti dijalankan di kawasan tertutup serta pelitup muka dipakai.
Sebarang perubahan arahan atau perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPNJ dan Media Digital Johor (MDJ). Kerajaan negeri menegaskan bahawa keselamatan dan kesihatan murid kekal menjadi keutamaan meskipun penutupan berpanjangan memberi kesan kepada pembelajaran serta urusan harian ibu bapa dan penjaga. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Sekolah di Johor ditutup lagi hingga 23 Oktober appeared first on Kosmo Online.





