
JOHOR BAHRU – Semua institusi pendidikan di Johor akan beroperasi semula mulai Isnin ini, 26 Oktober, selepas mengambil kira perkembangan positif situasi jerebu dan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor dengan mengambil kira penilaian agensi berkaitan.
“Trend penurunan bacaan IPU di seluruh Johor sejak lima hari lalu, selain perubahan arah angin, peningkatan kelembapan dan jangkaan hujan, dijangka membantu mengurangkan kesan jerebu.
“Penilaian risiko kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor turut menjadi pertimbangan utama bagi memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pembukaan semula institusi pendidikan itu juga mengambil kira keperluan pelaksanaan peperiksaan akhir tahun serta persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menyelaraskan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan, termasuk pemakaian pelitup muka serta pemantauan aktiviti persekolahan berdasarkan bacaan IPU semasa dan garis panduan berkuat kuasa.
Katanya, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan situasi jerebu secara berterusan.
Sebarang perubahan atau tindakan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa.
Kerajaan Negeri Johor kekal komited memastikan keselamatan dan kesihatan warga sekolah menjadi keutamaan, selain menjamin kesinambungan pendidikan anak-anak di negeri ini. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Sekolah di Johor dibuka semula Isnin ini appeared first on Kosmo Online.






