Jerebu: Sekolah, institusi pendidikan di Johor dibuka semula mulai Isnin

24 Oct 2026 • 5:16 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Jerebu: Sekolah, institusi pendidikan di Johor dibuka semula mulai Isnin

KUALA LUMPUR - Semua sekolah dan institusi pendidikan di Johor yang ditutup selama lima hari, akan mula beroperasi semula Isnin ini selepas penilaian terhadap situasi jerebu dan penelitian dibuat oleh agensi berkaitan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, keputusan itu dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang sentiasa mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat Johor.

Beliau memberitahu, perubahan arah angin yang bermula hari ini, ditambah dengan peningkatan kelembapan udara serta ramalan hujan, dijangka membantu meredakan keadaan jerebu.

“Keputusan itu turut mengambil kira trend penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negeri sejak lima hari lepas.

“Pembukaan semula institusi pendidikan juga mengambil kira keperluan untuk melaksanakan peperiksaan akhir tahun serta persiapan bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),’’ katanya.

Sebelum ini, semua sekolah di Johor yang melibatkan lebih 1,000 institusi dan kira-kira 600,000 pelajar ditutup selama 10 hari berikutan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.

Sehingga tengah hari ini, lapan kawasan di Johor mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, dengan Larkin merekodkan bacaan tertinggi iaitu 170.

Dalam pada itu, Muhammad Naqib berkata, penilaian risiko kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri turut menjadi pertimbangan utama bagi memastikan keselamatan pelajar, guru dan seluruh warga sekolah.

Jelasnya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menyelaraskan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan, termasuk pemakaian pelitup muka, serta memantau aktiviti sekolah berdasarkan bacaan IPU terkini dan garis panduan yang ditetapkan.

Beliau berkata kerajaan negeri, dengan kerjasama agensi berkaitan, akan terus memantau keadaan jerebu dan mengumumkan perkembangan lanjut sekiranya perlu.

“Kami kekal komited untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan warga sekolah, di samping memastikan kesinambungan pendidikan anak-anak Johor,” katanya. - 24 Oktober, 2026

The post Jerebu: Sekolah, institusi pendidikan di Johor dibuka semula mulai Isnin appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved