Jerebu: Sekolah Di Selangor Ditutup Jika Bacaan IPU Lebih 200

LocalEnvironment
6 Sep 2026 • 8:38 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Jerebu: Sekolah Di Selangor Ditutup Jika Bacaan IPU Lebih 200

SHAH ALAM - Semua sekolah, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak di Selangor akan diarahkan tutup sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 200.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, Jabatan Pendidikan Selangor akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan tahap pencemaran serta peraturan ditetapkan.

Beliau berkata, institusi pendidikan termasuk sekolah, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak perlu mematuhi arahan serta peraturan semasa berdasarkan bacaan IPU yang direkodkan.

“Sekiranya bacaan IPU melebihi 200, penutupan sekolah, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak akan dilaksanakan mengikut ketetapan yang berkuat kuasa.

“Pihak sekolah juga diminta memastikan aspek keselamatan dan kesihatan murid sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh jerebu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamaliah berkata kerajaan negeri turut memperkukuh tahap kesiapsiagaan semua agensi susulan peningkatan bacaan IPU di beberapa kawasan di Selangor sejak pagi tadi.

Menurutnya, sehingga jam 11 pagi, enam kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu Johan Setia dengan bacaan 180, Shah Alam (168), Petaling Jaya (157), Klang (155), Banting (155) dan Kuala Selangor (155).

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa aktiviti pembakaran terbuka adalah dilarang dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang.

Orang ramai turut diminta memainkan peranan dengan segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi talian hotline JAS 1-800-88-2727 atau aplikasi eAduan JAS.

“Bagi kejadian kebakaran yang memerlukan tindakan segera, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau talian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di 1-800-88-994,” katanya.

Jamaliah berkata aspek kesihatan awam kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam menangani keadaan bacaan IPU yang tidak sihat ketika ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor juga bersedia menyalurkan bekalan pelitup muka kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk diagihkan kepada penjawat awam dan orang ramai.

“Pengagihan akan memberi keutamaan kepada kawasan yang merekodkan bacaan IPU tertinggi di Selangor, khususnya golongan memerlukan,” katanya. - Getaran, 6 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved