
SHAH ALAM, 20 OGOS: Semua sekolah di enam daerah di Sarawak diarah tutup berkuat kuasa serta-merta hari ini dan esok berikutan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara di kawasan berkenaan.
Menerusi hebahan segera, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan sekolah yang terlibat adalah bawah seliannya sekitar Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Serian dan Samarahan.
“Keputusan ini dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah khususnya daripada risiko pendedahan kepada udara tidak sihat,” menurut kenyataan.
Menurut JPN Sarawak lagi, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksana sepanjang tempoh penutupan dan sebarang perkembangan lanjut berkaitan tempoh tutup dan pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPN Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Jerebu tebal melanda beberapa kawasan di Sarawak hari ini, dengan enam kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Keadaan berkenaan dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan berskala besar yang berlaku di Kalimantan ketika ini, menyebabkan asap dan partikel pencemar dibawa ke beberapa kawasan sekitar Sarawak.
Setakat 12.00 tengah hari tadi, IPD Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 191, diikuti Lubok Antu (189), Kuching (188), Sri Aman (178), Lundu (178), Samarahan (171), Tebedu (164), Sarikei (153) dan Sibu (125).
Justeru, orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar sepanjang keadaan jerebu berlarutan.



