
PETALING JAYA – Pemandangan sekitar ibu negara pagi ini mencuri perhatian apabila Kuala Lumpur dilihat diselubungi jerebu tebal sehingga beberapa mercu tanda utama hampir tidak kelihatan.
Keadaan itu dikongsikan seorang pengguna Threads, @adiazwari_ yang memuat naik beberapa gambar sekitar pukul 8.31 pagi tadi menunjukkan jarak penglihatan terhad dipercayai akibat jerebu.
Menerusi gambar tersebut, bangunan pencakar langit di sekitar ibu negara hanya kelihatan samar-samar di sebalik lapisan jerebu yang tebal.
Pengguna tersebut malah berkata Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara Kuala Lumpur dan Tun Razak Exchange (TRX) langsung tidak kelihatan dari lokasi rakaman di Sentul.
“Pagi ini Malaysia jerebu teruk sangat, ini bukan kabus ya. KLCC, KL Tower, TRX semua tak nampak langsung. Yang keluar rumah pergi kerja tak nampak jalan itu korang okay ke? Kita jaga kita,” tulisnya.
Dia turut menyarankan ibu bapa yang mempunyai anak kecil supaya mempertimbangkan untuk mengehadkan aktiviti luar susulan keadaan tersebut.
“Aku rasa siapa ada anak kecil itu boleh pertimbangkan untuk cuti sekolah dan duduk rumah dulu,” katanya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai selain menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial yang turut berkongsi situasi hampir sama di kawasan masing-masing.
“Ya bang, sama juga dekat Sepang. Baru pergi KLIA, awan masih okay tapi bau dia kuat masuk dalam kereta,” kata @syukkryzo.
Lebih membimbangkan, pengguna @enda.nina berkongsi bahawa anaknya telah dimasukkan ke wad selepas mengalami batuk kuat.
“Anak saya dah dimasukakn wad semalam sebab batuk-batuk kuat,” tulisnya.
Pengguna @awin_halid pula secara berseloroh menyifatkan suasana di luar rumah pagi ini seakan-akan berada di alam lain susulan jarak penglihatan yang terhad.
“Tadi keluar kejap pun dah rasa macam jalan dekat dunia khayalan,” katanya.
Sementara itu, tangkap layar aplikasi pemantauan kualiti udara yang dikongsikan pengguna berkenaan menunjukkan bacaan Indeks Kualiti Udara (AQI) Kuala Lumpur pada paras 174 atau kategori tidak sihat pada pukul 8 pagi.– KOSMO! ONLINE
The post Jerebu tebal, KLCC, Menara KL ‘hilang’ daripada pandangan appeared first on Kosmo Digital.






