
KUALA LUMPUR - Masalah jerebu tebal yang melanda Johor pagi tadi melumpuhkan sementara operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), membabitkan sekurang-kurangnya lima penerbangan yang terpaksa dilencongkan dan ditangguhkan akibat jarak penglihatan yang terhad.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan bahawa beberapa pesawat yang dijadualkan mendarat di Senai terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Changi di Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atas faktor keselamatan.
Malah, beliau sendiri turut menjadi 'mangsa' penangguhan itu apabila penerbangannya dari KLIA ke Senai terpaksa ditunda hampir dua jam.
"Beberapa penerbangan pada pagi ini memang terjejas oleh kerana jarak penglihatan rendah di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Bukan sahaja tak boleh mendarat, tetapi yang belum berlepas pula diminta untuk menundakan penerbangan tersebut," katanya.
Bercakap kepada media selepas majlis pelancaran Armada Lori Terminal Berkuasa Elektrik di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) hari ini, Loke mendedahkan penerbangan awalnya pada jam 7.15 pagi terpaksa ditahan di tempat berlepas.
"Penerbangan saya juga terjejas. Sepatutnya penerbangan saya berlepas awal pagi tetapi selepas mendaftar masuk sekitar 7 pagi, juruterbang memaklumkan bahawa pesawat tidak boleh mendarat di Senai.
"Maka kalau kita berlepas sekali pun, ia tetap tidak boleh mendarat jadi lebih baik kita menunggu di KLIA. Jadi kita menunggu hampir satu jam 45 minit, hingga 9 pagi baru berlepas," tambah beliau.
Krisis penerbangan ini menyusul susulan keadaan kualiti udara yang memburuk di Johor.
Setakat jam 9 pagi tadi, tujuh kawasan di negeri berkenaan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, dengan Segamat mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 186, diikuti Pasir Gudang (180), Larkin (178) dan Tangkak (171). - 8 Oktober, 2026
The post Jerebu teruk di Johor: 5 penerbangan LTAS tertangguh termasuk pesawat dinaiki Anthony Loke appeared first on Scoop.






