
PONTIAN, 8 Oktober — Keadaan jerebu tebal yang menyelubungi beberapa kawasan di Pontian, Johor, pagi ini mencuri perhatian selepas satu rakaman menunjukkan jarak penglihatan yang sangat terhad di laluan menuju ke kawasan Kayu Ara Pasong.
Rakaman berkenaan dikongsikan pengguna Threads, _nuruleza, yang turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan terbabit.
Jerebu Tebal
Dalam perkongsian tersebut, keadaan jalan kelihatan diselubungi kabus dan jerebu tebal sehingga kawasan di hadapan sukar dilihat dengan jelas.
Perkongsian itu menjadi lebih menyayat hati selepas terdapat laporan mengenai kemalangan maut melibatkan tiga beradik di Jalan Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, Pontian, pagi tadi.
Tiga Beradik Maut
Ketiga-tiga mangsa terdiri daripada seorang abang berusia 18 tahun, adik lelaki berusia 11 tahun dan adik perempuan berusia lapan tahun.
Menurut laporan, mereka dipercayai dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sarpan sebelum mendapati sekolah ditutup susulan keadaan jerebu.
Ketiga-tiga beradik itu kemudian dipercayai berpatah balik untuk pulang ke rumah.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, motosikal yang dinaiki mereka dipercayai melanggar bahagian hadapan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika laluan berkenaan mengalami keadaan berkabut tebal dan berjerebu.
Sekolah Di Johor Ditutup
Keadaan jerebu turut menyebabkan semua sekolah di Johor ditutup pada 8 dan 9 Oktober, dengan sesi pembelajaran dilaksanakan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pontian untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussein Mion Hussian, memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu. – The Malaysian Update
The post Jerebu Tebal Selubungi Pontian, Tiga Beradik Maut Dalam Kemalangan appeared first on The Malaysian Update.





