
KEADAAN berjerebu tidak menghalang Festival Larian Wanita KL Guardian (KLWRF) 2026 berlangsung dengan jayanya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Namun, atas faktor kesihatan dan kesejahteraan, pihak penganjur telah memendekkan jarak asal lima kilometer (km), 10km, dan 15km kepada laluan 2.6km yang bersifat santai serta terbuka kepada semua peserta berdaftar.
Walaupun begitu, kemeriahan KLWRF tetap dirasai apabila 8,000 wanita berhimpun bersama rakan-rakan untuk menikmati pagi yang sarat dengan aktiviti kecergasan, penjagaan diri dan kebersamaan.
Peserta yang memilih untuk menyertai larian 2.6km telah dilepaskan bermula pukul 6 pagi.
Sementara itu, mereka yang tidak mahu berlari masih boleh menuntut barangan penamat masing-masing dan menyertai aktiviti disediakan di tapak acara.
Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan berkata, keadaan cuaca mungkin telah mengubah atur cara program larian tersebut, tetapi sama sekali tidak menukar matlamat asal penganjuran KLWRF.
“Dengan keadaan jerebu, tanggungjawab utama kami adalah untuk menyesuaikan acara demi kesejahteraan para peserta.
“Namun dari awal lagi, KLWRF sememangnya dirangka untuk menjadi lebih daripada sekadar sebuah perlumbaan.
“Larian ini mungkin lebih pendek daripada yang kami rancang pada asalnya, tetapi melihat golongan wanita tetap hadir bersama kawan-kawan mereka, saling menyokong dan bergembira, membuktikan nilai sebenar KLWRF,” katanya.

Tapak acara menjadi tumpuan utama pada pagi itu, apabila peserta meluangkan masa mengikuti sesi zumba dan POUND It.
Selain itu, terdapat pelbagai pengisian memfokuskan kepada aspek kesihatan, pemulihan badan, kecantikan, gaya hidup, aktiviti kreatif, pemberian cenderahati dan cabutan bertuah.
Bersempena dengan Hari Menopaus Sedunia, pihak penganjur turut memberi penekanan kepada kesejahteraan wanita pertengahan usia dengan menyediakan maklumat mengenai perimenopaus dan menopaus, pemeriksaan kesihatan kulit serta sesi perundingan.
Di sekitar tapak acara, peserta juga boleh menjalani penilaian kesihatan, menikmati sesi pemulihan seperti urutan dan rendaman air sejuk (cold-plunge), mempelajari tip gaya dan kecantikan, memperibadikan cenderamata larian melalui ukiran dan aktiviti kraf (DIY), atau sekadar meluangkan masa bersama rakan sambil meninjau reruai.
Acara itu turut dimeriahkan dengan aktiviti sesi lilitan selendang, tutorial kecantikan pascalarian sehinggalah kepada penyesuaian (customisation) kasut dan bib.
Aktiviti tersebut menjadi asbab buat peserta untuk terus kekal berada di sana, walaupun selepas selesai menghabiskan larian.
Bekas atlet elit dan jurulatih larian dari Jepun, Chiaki Morikawa yang memegang rekod peribadi maraton 2:35:06 turut hadir memeriahkan festival itu sebagai salah seorang tetamu istimewa.
Berikutan pembatalan kategori perlumbaan berdaya saing, wang hadiah berjumlah RM9,200 yang diperuntukkan telah disumbangkan sepenuhnya kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.
Pengarah Urusan Guardian Malaysia, Priscilla Wu berkata, keadaan jerebu sememangnya telah mengubah kelancaran asal festival tersebut, tetapi penganjurannya pada pagi itu menterjemahkan betapa pentingnya kaum wanita bersatu dalam soal kesihatan dan kesejahteraan.
“Di Guardian, kami percaya bahawa kesejahteraan bermula dengan membuat pilihan yang bijak serta menjaga diri anda sendiri.
“Sebagai penasihat kesihatan yang dipercayai, kami menghormati setiap keputusan wanita untuk meletakkan kesihatan mereka di tempat pertama, terutama apabila keadaan tidak mengizinkan,” ujarnya.
The post Jerebu tidak halang 8,000 wanita sertai larian KLWRF appeared first on Kosmo Online.
