Jerebu tidak halang pelancong ke Pulau Perhentian

19 Sep 2026 • 8:24 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jerebu tidak halang pelancong ke Pulau Perhentian

BESUT: Keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini tidak menghalang pelancong meneruskan percutian ke Pulau Perhentian dan tidak memba­talkan tempahan bot yang dibuat seawal.

Pengusaha bot pelancongan, Che Siti Sabrina Che Johan, 41, berkata, pihaknya masih me­nerima pelanggan dari seluruh negara meskipun keadaan jarak penglihatan di laut agak terhad.

Katanya, kebanyakan pelanggan sudah mempunyai jadual perjalanan yang dirancang lebih awal menyebabkan tempahan sukar dibatalkan pada saat akhir.

“Laut masih cantik dan pe­langgan tetap mahu pergi walaupun jerebu. Kebanyakan mereka sudah tempah sebulan atau dua bulan lebih awal.

“Bagaimanapun, keselamatan tetap menjadi keutamaan dan kami mematuhi sebarang prosedur operasi standard (SOP) sekiranya dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Che Siti Sabrina berkata, pe­ngalaman mengendalikan bot selama kira-kira 25 tahun banyak membantunya dan pengusaha lain menyesuaikan perjalanan mengikut keadaan cuaca serta jarak penglihatan.

Katanya, ketika jerebu, pemandu bot perlu lebih berhati-hati dan menggunakan peralatan navigasi termasuk Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) serta kompas bagi memastikan perjalanan ke pulau berada pada laluan yang betul.

“Kebanyakan pemandu bot yang membawa pelancong ke Pulau Perhentian juga adalah pemandu profesional dan berpengalaman.

“Buat masa ini, kami mengambil inisiatif sendiri dengan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga ketika berada di laut,” katanya.

Menurutnya, keadaan berje­rebu pernah berlaku di kawasan berkenaan namun tidak seteruk dialami ketika ini.

Bagaimanapun operasi bot masih berjalan mengikut jadual dengan kira-kira lima hingga enam perjalanan bagi setiap bot dalam tempoh tiga hari, bergantung kepada tempahan pelanggan dan keadaan laut.-UTUSAN.

The post Jerebu tidak halang pelancong ke Pulau Perhentian appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved