KUANTAN – Jeritan jiran yang melaungkan perkataan api menyelamatkan empat sekeluarga daripada terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah sewa di Taman Temerloh Jaya, Temerloh, pada Jumaat
Mangsa, Sarina Zaini, 49, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi, mereka sekeluarga sedang tidur sebelum dikejutkan oleh suara kecoh jiran.
"Sebaik terjaga, saya dapati api sudah marak di bahagian hadapan rumah. Dalam keadaan cemas, saya terus kejutkan anak lelaki dan adik lelaki untuk membantu menyelamatkan ibu yang uzur.
"Kami kemudian terus keluar ikut pintu belakang dan tak sempat hendak selamatkan apa-apa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Ibu kepada lima anak itu memberitahu, kebakaran tersebut memusnahkan sebuah kereta dan tiga motosikal yang diletakkan di hadapan rumah, selain menyebabkan kediaman itu terbakar sepenuhnya.
**media[3494411]**
Menurutnya, anggaran kerugian sekitar RM60,000, namun dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat dalam tragedi itu.
“Semua dokumen penting dan barangan peribadi habis terbakar, kami kini tinggal sehelai sepinggang.
"Harta benda boleh dicari, tetapi nyawa ahli keluarga tiada galang ganti dan saya reda dengan ketentuan ini,” katanya.
Bercerita lanjut, Sarina berkata, telefon bimbitnya turut musnah dalam kejadian itu, namun dia bersyukur kerana adik lelakinya sempat mencapai telefon miliknya sendiri.
“Mujur adik ada bawa telefon dia, jadi kami masih boleh menghubungi beberapa pihak termasuk untuk urusan kerja dan kecemasan,” ujarnya.
Sarina yang juga pesakit kanser usus (kolon) memaklumkan antara keperluan mendesak ketika ini adalah bekalan perubatan dan barangan penjagaan harian untuk ibunya.
“Saya memerlukan beg stoma yang telah habis terbakar kerana saya sudah tiga tahun menggunakannya selepas pembedahan.
"Selain itu, lampin pakai buang dewasa untuk ibu juga sangat diperlukan,” jelasnya.
Buat masa ini, Sarina memberitahu mereka sekeluarga ditempatkan sementara di sebuah inap desa berhampiran hasil bantuan ihsan penduduk setempat.
Tambahnya, meskipun suami berada di Kuala Lumpur, dia perlu kekal di Temerloh buat masa ini bagi menguruskan ibu yang tidak boleh berjalan serta urusan pasca kebakaran bersama pihak berkuasa.
Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa memaklumkan kejadian itu turut membabitkan dua rumah lain.
Menurutnya, rumah teres setingkat didiami empat sekeluarga itu paling teruk terbakar iaitu sekitar 80 peratus.
"Dua rumah lagi terbakar kira-kira 20 peratus dan 30 peratus sebelum api berjaya dikawal," katanya.

