Jet Pejuang AS Didakwa Ditembak Jatuh Di Iran, Operasi Mencari Juruterbang Dilancarkan

WorldPolitics
4 Apr 2026 • 12:54 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

TEHRAN: Tentera Iran dilaporkan telah melancarkan operasi mencari seorang juruterbang jet pejuang Amerika Syarikat (AS) yang didakwa ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara negara itu.

Menurut laporan Agence France-Presse (AFP), perkara itu disahkan oleh agensi berita Iran, Fars News Agency, pada Jumaat.

“Pasukan tentera telah melancarkan operasi mencari juruterbang Amerika yang terkena serangan awal hari ini,” menurut laporan Fars.

Rakaman Bangkai Pesawat Tular

Dalam perkembangan sama, sebuah stesen televisyen tempatan turut menyiarkan rakaman yang didakwa menunjukkan bangkai jet pejuang AS yang terhempas.

Memetik kenyataan pihak polis, pesawat tersebut dipercayai disasarkan di bahagian tengah Iran sebelum terhempas di wilayah Kohgiluyeh dan Boyer-Ahmad.

Pihak berkuasa juga menggesa penduduk setempat untuk membantu dalam operasi pencarian juruterbang terbabit, malah menawarkan ganjaran kepada mana-mana individu yang berjaya menahan anggota tentera AS.

Laporan Pertama Sejak Konflik Terkini

Insiden ini dilihat sebagai laporan pertama melibatkan jet pejuang AS ditembak jatuh di Iran sejak konflik tercetus antara negara itu dengan AS dan Israel pada 28 Februari lalu.

Terdahulu, portal berita Axios turut melaporkan bahawa sebuah jet pejuang milik Amerika Syarikat telah ditembak jatuh oleh Iran.

Penilaian awal berdasarkan imej yang tersebar di media tempatan mencadangkan pesawat tersebut berkemungkinan merupakan jet pejuang jenis F-15 Eagle.

Bagaimanapun, pihak US Central Command (CENTCOM) yang mengendalikan operasi ketenteraan AS di Timur Tengah masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut. – The Malaysian Update

The post Jet Pejuang AS Didakwa Ditembak Jatuh Di Iran, Operasi Mencari Juruterbang Dilancarkan appeared first on The Malaysian Update.