
SANDAKAN: Projek pembinaan jeti baharu Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) yang dimulakan sejak tahun 2022 kini siap 75 peratus.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementeriannya memberi jaminan kerjasama dalam memastikan pelaksanaan projek bernilai RM112.9 juta itu siap pada Mei tahun depan.
Jelasnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perjumpaan bersama warga Mawilla 2 Sandakan baru-baru ini mahu jeti berkenaan siap secepat mungkin kerana ia merupakan markas yang menjaga soal keselamatan pertahanan laut negara di kawasan Sandakan.
“Bagaimanapun terdapat beberapa faktor perlu diambil kira seperti kawasan mendap dan jalan sempit dimana pihak kontraktor juga telah memanggil pakar bagi memastikan permasalahan itu diatasi segera.
“Apabila siap kelak jeti baharu itu mampu menempatkan 20 buah kapal dalam satu masa sesuai dengan peranannya menjaga di kawasan perairan termasuk Laut China Selatan, Sulu dan Sulawesi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus mengadakan lawatan kerja ke Markas Mawilla 2 di Pangkalan TLDM Sandakan pada Isnin.
Turut hadir Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar dan timbalannya Laksamana Pertama Ivan Mario Andrew.
Mohamed Khaled mengadakan lawatan kerja dua hari ke Sandakan antara lain turut melawat tapak Program Ekonomi Madani oleh Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) di Kem Sri Kinabatangan bagi projek madu kelulut dan Perumahan TLDM di Taman Samudera untuk projek hidroponik.
Beliau juga menyampaikan sumbangan kebajikan kepada keluarga yang memerlukan semasa lawatan di kedua-dua lokasi.
Sementara itu Mohamed Khaled berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkumi elemen udara, laut serta darat bersedia dalam sebarang keadaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
“Tetapi buat ketika ini keadaan baik dan tidak memerlukan angkatan tentera untuk terlibat secara langsung. Kita hanya menasihatkan supaya perjalanan demokrasi itu perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab.
“Jangan menyebabkan keadaan yang akhirnya boleh menjejaskan keselamatan negara. Musuh negara banyak apatah lagi kita ada cabaran dari luar yang memang mahu melihat upaya negara dan negeri ini dalam keadaan lemah,” ujarnya.




