Projek LRA Balung 2 bakal atasi isu air di Apas, Balung

6 Oct 2025 • 12:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Projek Loji Rawatan Air (LRA) Balung 2 yang sudahpun diluluskan kerajaan bakal dimulakan pada tahun hadapan dan dijangka siap menjelang 2029.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung Datuk Hamild Awang berkata apabila siap kelak projek itu dijangka mampu mengatasi isu bekalan air di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Apas dan Balung.

“Seperti diketahui umum, bahagian DUN Apas dan Balung sentiasa berdepan catuan bekalan air, seperti dinyatakan sendiri oleh wakil JKKK Apas Parit yang menghadapi isu air sama ada ketika ada berlaku catuan ataupun tidak,”katanya.

Menurutnya, perkara itu berlaku akibat bekalan air di LRA Balung tidak mencukupi untuk menampung keperluan pengguna di kawasan tersebut.

Katanya, beliau difahamkan oleh Jabatan Air bahawa LRA Balung hanya mampu membekalkan 22 juta liter air sehari, sedangkan kawasan DUN Apas Balung memerlukan sekurang-kurangnya 30 juta liter air sehari.

Justeru itu, beliau berharap apabila siapnya LRA Balung 2 dalam tempoh tiga tahun lagi akan dapat mengatasi sepenuhnya masalah bekalan air tidak mencukupi di kedua-dua DUN berkenaan pada masa akan datang.

Hamild berkata, bagi membantu rakyat kawasannya, pihaknya mengambil inisiatif menghantar bekalan air terawat di kampung-kampung terjejas seperti Kg Serudung Baru dan Kg Blok 31 dengan menggunakan lori yang dibantu Jabatan Air.

“Selain itu, kita juga membekalkan tangki-tangki statik di kampung-kampung ini yang sudahpun kita letakkan 20 tangki statik setakat ini, bagi membantu penduduk kawasan itu mendapatkan air bersih,”katanya.

Bagi kawasan tanah tinggi seperti Kg Kongsi 10, pihaknya juga membekalkan tangki statik, manakala Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui membina perigi telaga tiub di kawasan itu untuk kemudahan rakyat.

Projek pembinaan telaga tiub tersebut, katanya, amat membantu meringankan beban penduduk kampung yang berdepan bekalan air tidak mencukupi, khususnya di kawasan tanah tinggi.