Jeti sudah cantik tapi tiada tangga

3 Aug 2026 • 8:25 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jeti sudah cantik tapi tiada tangga

PONTIAN – Kegembiraan nelayan Kampung Sungai Dinar, Serkat di sini, yang mendapat sebuah jeti baharu bertukar kecewa apabila kemudahan tersebut didakwa siap tanpa struktur tangga bagi memudahkan mereka turun dan naik dari bot.

Situasi itu menyebabkan nelayan terpaksa mengambil inisia­tif sendiri dengan membina tangga menggunakan kayu bakau untuk turun ke bot serta membawa hasil tangkapan ke darat.

Menurut mereka, projek pembinaan jeti bernilai kira-kira RM200,000 yang siap pada tahun 2024 itu didakwa tidak memasukkan pembinaan tangga sebagai sebahagian daripada kemudahan asas untuk kegunaan komuniti setempat.

Seorang nelayan, Abdul Rahman Mad. Ariff, 51, mendakwa, ketiadaan tangga menyukarkan nelayan terutama ketika mahu mengangkat hasil tangkapan seperti ikan, udang, dan ketam yang dibawa pulang dari laut.

Katanya, komuniti nelayan sebenarnya amat menghargai usaha kerajaan membina jeti baharu itu memandangkan jeti lama yang diperbuat daripada kayu sudah uzur dan tidak lagi selamat untuk digunakan.

“Permohonan pembinaan jeti ini dibuat melalui persatuan nelayan dan telah diluluskan. Namun, apabila projek ini siap, kami berasa hairan mengapa tangga tidak dibina sekali.

“Sekurang-kurangnya, binalah dua buah tangga supaya nelayan dapat turun dan naik dengan selamat,” katanya di sini semalam.

Abdul Rahman berkata, buat masa ini mereka tidak mempunyai pilihan selain menggunakan tangga kayu bakau yang dibina sendiri walaupun tindakan itu mendedahkan mereka kepada risiko keselamatan, terutamanya ketika air pasang atau cuaca tidak menentu.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan dapat meneliti semula keperluan tersebut kerana tangga merupakan komponen yang sangat kritikal bagi sesebuah jeti nelayan.

Seorang lagi nelayan, Mohd. Zahari Mohd. Ali, 42, berkata, kebanyakan nelayan di kawasan tersebut turun ke laut pada waktu petang, tengah malam, atau awal pagi bergantung kepada keadaan pasang surut air.

Katanya, mereka sering pulang dengan muatan hasil tangkapan yang banyak menyebabkan ­proses memanjat jeti menjadi sukar dan berbahaya tanpa kemudahan tangga yang sesuai.

The post Jeti sudah cantik tapi tiada tangga appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved