KUALA LANGAT - Jeti-jeti tidak berdaftar di beberapa kawasan pesisir pantai di Selangor dikenal pasti sebagai antara lokasi ‘hotspot’ yang dipantau Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengekang pergerakan keluar warga asing melalui laluan tidak sah khususnya menjelang Aidilfitri.
Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, beberapa kawasan telah dikenal pasti berisiko digunakan sebagai laluan alternatif bagi membawa warga asing pulang ke negara asal tanpa melalui pintu keluar yang diwartakan.
Menurutnya, antara kawasan yang dikenal pasti termasuk di Sabak Bernam yang mempunyai jeti-jeti tidak berdaftar serta laluan yang tidak diwartakan.
"Menjelang Aidilfitri, biasanya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Marin akan menjalankan operasi di laut bagi mengekang pergerakan bot yang membawa warga asing pulang ke negara asal secara tidak sah.
"Bagi Jabatan Imigresen Selangor pula, kita menjalankan pemantauan di kawasan daratan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program inspektorat bazar Ramadan Rimbayu di kawasan Jalan Kebun di sini pada Isnin.
Menurutnya, pemantauan itu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan sebarang aktiviti membawa warga asing keluar melalui laluan tidak sah dapat dikesan lebih awal.
"Sebagai contoh, terdapat beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ seperti di Sabak Bernam yang mempunyai jeti-jeti tidak berdaftar atau laluan tidak diwartakan.
"Sekiranya melalui laluan sah, mereka boleh menggunakan pintu keluar yang diwartakan seperti di Pelabuhan Klang atau menggunakan feri dari Port Dickson,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan laluan tidak sah biasanya melibatkan pergerakan secara tersembunyi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Justeru, katanya, pihak imigresen akan meningkatkan pemantauan di kawasan daratan terutama laluan yang dikenal pasti berpotensi digunakan bagi tujuan tersebut.
"Bagi laluan tidak sah, kita akan melakukan pemantauan berterusan. Sekiranya menerima maklumat, kita akan segera ke lokasi berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, penguatkuasaan di kawasan laut pula berada di bawah bidang kuasa Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin yang menjalankan operasi bagi mengekang aktiviti penyeludupan manusia melalui laluan perairan.
"Di laut, penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Maritim Malaysia dan Polis Marin, manakala imigresen memberi tumpuan kepada pemantauan di daratan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut memantau sebarang pergerakan mencurigakan melibatkan kenderaan yang dipercayai membawa warga asing ke kawasan tertentu.
"Sekiranya kita mengesan pergerakan mencurigakan seperti kenderaan atau van membawa ramai warga asing menuju ke kawasan tertentu, tindakan pemantauan akan dilakukan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak imigresen sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan warga asing.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat juga digalakkan menyalurkannya kepada pihak imigresen dengan segera bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.

