PRM lonjak sejak Disember, lebih 49,000 PATI pulang secara sukarela

10 Mar 2026 • 10:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Khairrul Aminus ketika program Inspektorat Bazar Ramadan Rimbayu di Jalan Kebun pada Selasa.

KUALA LANGAT - Program Repatriasi Migran (PRM) yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus menunjukkan peningkatan penyertaan apabila lebih 49,000 warga asing di negeri ini tampil pulang secara sukarela sejak program itu dilaksanakan tahun lalu.

Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, sejak dilaksanakan pada 19 Mei 2025, seramai 49,808 warga asing telah menyertai program tersebut bagi membolehkan mereka pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan penahanan.

Menurutnya, peningkatan ketara mula direkodkan sejak Disember lalu sebelum angka itu terus meningkat pada Januari dan Februari tahun ini.

"Statistik menunjukkan jumlah penyertaan meningkat daripada 5,216 orang pada Disember kepada 6,158 orang pada Januari.

"Angka itu terus melonjak kepada 8,402 orang pada Februari, sekali gus menunjukkan trend peningkatan yang jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Inspektorat Bazar Ramadan Rimbayu di Jalan Kebun di sini pada Selasa.

Khairrul Aminus berkata, peningkatan penyertaan itu turut dipengaruhi oleh kesedaran dalam kalangan warga asing yang mahu pulang secara sukarela ke negara asal.

Menurutnya, program itu memberi peluang kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah atau tinggal lebih masa untuk kembali ke negara masing-masing tanpa melalui proses penahanan.

"Program ini membolehkan mereka pulang secara sukarela tanpa dikenakan tindakan penahanan.

"Kita memberi tempoh yang mencukupi kepada mereka untuk pulang melalui pintu keluar yang diwartakan seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Beliau berkata, pejabat imigresen di empat cawangan utama di Selangor iaitu Shah Alam, Kelana Jaya, Pelabuhan Klang dan Kajang kini menerima kehadiran yang agak tinggi bagi program tersebut.

Menurutnya, setiap pagi jumlah warga asing yang hadir bagi menyertai program itu kini melebihi 100 orang bagi satu cawangan.

"Jika sebelum ini hanya puluhan orang sahaja hadir setiap pagi dan jumlahnya tidak sampai 100 orang, namun sejak Ramadan ini kehadiran meningkat kepada lebih 100 orang bagi satu cawangan.

"Ini menunjukkan semakin ramai warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen sah atau telah lama tinggal lebih masa tampil untuk pulang ke negara asal,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menggalakkan warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen sah supaya tampil menyertai program berkenaan.

"Kita galakkan mereka supaya datang menyerah diri melalui program ini kerana mereka tidak akan ditahan.

"Sebaliknya mereka hanya perlu melalui proses yang ditetapkan sebelum dibenarkan pulang ke negara asal masing-masing,” katanya.

Tambah beliau, program tersebut merupakan pendekatan yang lebih tersusun bagi menangani isu pendatang asing tanpa izin di negara ini tanpa melibatkan proses penahanan yang panjang.

Menurutnya, pihak imigresen akan terus memantau dan menggalakkan penyertaan dalam program itu bagi memastikan warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah dapat pulang secara teratur.