JETOUR T2 Disahkan 5-Bintang ASEAN NCAP, Keyakinan Tinggi Menjelang Pelancaran 2026

LocalCars
15 Jan 2026 • 8:30 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

JETOUR T2 mencipta penanda aras penting menjelang kemasukannya ke pasaran tempatan apabila SUV ini berjaya meraih penarafan keselamatan 5-bintang daripada ASEAN New Car Assessment Programme (ASEAN NCAP) di bawah protokol penilaian 2021–2025, dengan skor keseluruhan 86.50 mata.

image is not available

SUV lasak seberat 1,870 kg ini mencatatkan keputusan cemerlang merentasi kesemua empat kategori penilaian utama. Bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), JETOUR T2 memperoleh 37.17 mata daripada 40 mata, manakala Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) merekodkan 15.94 mata daripada 20 mata. Dalam aspek Bantuan Keselamatan (SA), model ini mencatatkan 17.14 mata, sementara Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) pula merekodkan 16.25 mata.

Pencapaian ini mengukuhkan komitmen JETOUR terhadap tahap keselamatan menyeluruh, bukan sahaja untuk perlindungan penumpang kenderaan, malah kepada pengguna jalan raya lain termasuk penunggang motosikal. Salah satu aspek penting bagi pasaran ASEAN.

Penarafan 5-bintang ini hadir tepat pada masanya, selari dengan persiapan JETOUR T2 untuk dilancarkan di Malaysia pada suku pertama 2026. Ia turut mencerminkan pendekatan kejuruteraan JETOUR yang memberi penekanan terhadap keselamatan setanding dengan reka bentuk, prestasi dan integrasi teknologi moden.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif JETOUR Auto Malaysia, Encik Fu Yong, pengiktirafan ini merupakan bukti jelas terhadap tahap kejuruteraan serta keupayaan keselamatan SUV berkenaan. Beliau menjelaskan bahawa JETOUR T2 dibangunkan dengan struktur badan yang kukuh serta sistem keselamatan aktif dan pasif yang menyeluruh, bagi membantu melindungi penumpang dan mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya.

Dari segi kelengkapan, JETOUR T2 dilengkapi enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) serta Sistem Peringatan Tali Pinggang Keledar (SBR) untuk semua barisan tempat duduk. Turut disertakan ialah Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD), Perlindungan Pejalan Kaki (PP), Pengesanan Kehadiran Kanak-Kanak (CPD) serta pelekap tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

SUV ini juga menampilkan rangkaian teknologi bantuan pemandu termaju (ADAS) seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB) untuk pelbagai situasi termasuk bandar, antara bandar, pejalan kaki dan motosikal, Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Keluar Lorong (LDW) serta Lampu Tinggi Automatik (AHB).

Dengan pencapaian penarafan keselamatan tertinggi ASEAN NCAP ini, JETOUR T2 dilihat berada pada kedudukan kukuh untuk menarik minat pembeli SUV di Malaysia, khususnya mereka yang mengutamakan aspek keselamatan dan teknologi menjelang kemunculan rasminya pada 2026.

The post JETOUR T2 Disahkan 5-Bintang ASEAN NCAP, Keyakinan Tinggi Menjelang Pelancaran 2026 appeared first on TW Media.