
KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan Malaysia yang menjadi buruan antarabangsa, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dilaporkan telah mengemukakan permohonan pengampunan presiden kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, dalam usaha menggugurkan pertuduhan jenayah dihadapinya di negara itu.
Menurut laporan The Wall Street Journal pada Selasa, permohonan tersebut dikemukakan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dan dipercayai berkaitan dengan prosiding undang-undang AS yang masih berjalan terhadap pelarian kewangan paling dikehendaki di dunia itu.
Sekiranya diluluskan, pengampunan tersebut berpotensi membebaskan Low daripada sebarang liabiliti jenayah di bawah bidang kuasa AS.
Agensi berita Reuters, yang memetik laporan berkenaan pada Rabu bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan kandungan laporan itu secara bebas.
The Wall Street Journal, memetik sumber yang mengetahui perkara tersebut, melaporkan, satu pemfailan berkaitan Low muncul di laman sesawang Jabatan Kehakiman AS tahun ini di bawah kategori “Pardon after Completion of Sentence” atau pengampunan selepas hukuman selesai dijalani.
Pemfailan itu dilaporkan disenaraikan atas nama “Taek Jho Low”.
Perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai satu lagi episod penting dalam usaha antarabangsa memburu Low, yang dituduh oleh pihak berkuasa beberapa negara sebagai dalang utama skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai berbilion dolar.
Siasatan pihak berkuasa AS sebelum ini mendakwa, sejumlah besar dana daripada syarikat pelaburan strategik negara itu telah diseleweng dan dicuci melalui rangkaian transaksi global yang melibatkan institusi kewangan, aset mewah, industri hiburan serta syarikat proksi.
Skandal 1MDB turut mencetuskan siasatan di beberapa negara termasuk Malaysia, AS, Singapura dan Switzerland, selain menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada pergolakan politik negara.
Low sebelum ini secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan sehingga kini masih gagal dikesan pihak berkuasa antarabangsa meskipun pelbagai usaha ekstradisi dilakukan.
Menurut laporan sama, seorang pegawai Rumah Putih memaklumkan, permohonan pengampunan yang dikemukakan Low ketika ini “tidak berada dalam perhatian utama Rumah Putih”.
Setakat ini, Trump mahupun wakil yang dikaitkan dengan Low belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.
Di bawah Perlembagaan AS, presiden mempunyai kuasa luas untuk memberikan pengampunan terhadap kesalahan persekutuan.
Namun, keputusan sedemikian lazimnya mengundang penelitian politik dan perundangan secara teliti, khususnya membabitkan kes rasuah dan kewangan berprofil tinggi.
Permohonan pengampunan yang dilaporkan itu hadir ketika usaha beberapa negara untuk mendapatkan semula aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB masih diteruskan.
Sehingga kini, lokasi sebenar Jho Low masih belum diketahui. - Getaran, 13 Mei 2026






