Jho Low tidak patut diberi pengampunan ‘dosa dan musibah dibawanya terlalu besar’ : Fahmi

LocalPolitics
14 May 2026 • 6:30 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Jho Low tidak patut diberi pengampunan ‘dosa dan musibah dibawanya terlalu besar’ : Fahmi

KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, tidak patut diberi sebarang pengampunan dan perlu kembali ke Malaysia untuk diadili, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang senada dengan Pengerusi Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Jho Low sepatutnya pulang untuk berdepan dengan pengadilan di mahkamah Malaysia berkaitan skandal kewangan 1MDB.

“Jho Low tidak patut diberi sebarang pertimbangan memaafkan kerana dosa dan musibah yang telah dia bawa kepada negara kita ini terlalu besar.

“Dia kena balik dan dibawa ke mahkamah di Malaysia untuk diadili. Itu yang sepatutnya berlaku,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026 di sini, hari ini.

Semalam, Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata Jho Low tidak wajar diberi pengampunan dan Amerika Syarikat sebaliknya perlu membantu Malaysia mengesan individu berkenaan untuk siasatan lanjut.

Johari juga berkata, beliau tidak mengetahui mengenai sebarang perbincangan antara Jho Low dan pihak berkuasa Malaysia berkaitan pemulangan aset.

The Wall Street Journal melaporkan bahawa Malaysia telah menggantung sementara notis merah Interpol terhadap Low bagi memudahkan penghantaran pulang aset bernilai besar.

Pada Isnin, Jho Low, yang merupakan individu paling dikehendaki dalam kes 1MDB dilaporkan cuba memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dengan permohonan berkenaan difailkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menurut sumber yang mengetahui perkara tersebut.

Menurut WSJ, jika diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah di Amerika Syarikat terhadapnya.

Laman web Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menyenaraikan satu permohonan yang masih menunggu keputusan bagi “Pardon after Completion of Sentence” atas nama Taek Jho Low yang difailkan tahun ini.

Jho Low, yang didakwa mendalangi kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM20.7 bilion) daripada Malaysia melalui kes 1MDB itu hilang pada 2016 ketika pihak berkuasa dari Singapura hingga ke Australia dan AS menyiasat kes penipuan besar-besaran tersebut. - 14 Mei, 2026

The post Jho Low tidak patut diberi pengampunan ‘dosa dan musibah dibawanya terlalu besar’ : Fahmi appeared first on Scoop.