Polis masih siasat Jho Low meskipun dilapor mohon pengampunan daripada Trump

LocalPolitics
13 May 2026 • 7:21 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Polis masih siasat Jho Low meskipun dilapor mohon pengampunan daripada Trump

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low meskipun terdapat laporan beliau sedang memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata PDRM turut menjalinkan hubungan baik dengan negara berkaitan dalam usaha meneruskan siasatan kes berkenaan.

“Isu ini masih lagi dalam peringkat siasatan yang berterusan… saya melihat perkara begini agak sensitif untuk dibincangkan,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Dialog Khas PDRM kali kelima 2026 di sini hari ini.

Jho Low, yang merupakan individu paling dikehendaki dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dilaporkan kini memohon pengampunan daripada Presiden Donald Trump dengan permohonan berkenaan difailkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menurut sumber yang mengetahui perkara tersebut.

Jika diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah di Amerika Syarikat terhadapnya, lapor media antarabangsa hari ini.

Laman web Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menyenaraikan satu permohonan yang masih menunggu keputusan bagi “Pardon after Completion of Sentence” atas nama Taek Jho Low yang difailkan tahun ini.

Seperti semua permohonan lain, peluang Low untuk mendapatkan pengampunan akhirnya bergantung kepada Trump dan sekumpulan penasihat undang-undangnya.

Jho Low, yang didakwa mendalangi kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM20.7 bilion) daripada Malaysia melalui kes 1MDB itu hilang pada 2016 ketika pihak berkuasa dari Singapura hingga ke Australia dan AS menyiasat kes penipuan besar-besaran tersebut. - 13 Mei, 2026

The post Polis masih siasat Jho Low meskipun dilapor mohon pengampunan daripada Trump appeared first on Scoop.