Jia Xin kurangkan berat badan 5kg untuk pertahan emas Sukma

16 Sep 2022 • 8:25 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Atlet lompat tinggi Perak Ngu Jia Xin bukan sahaja menghadapi cabaran untuk catat lompatan terbaik di Sukma, tetapi juga mengurangkan berat badannya sebanyak 5 kilogram (kg) dalam tempoh dua minggu.

Dalam usahanya untuk mencapai berat badan 55kg daripada 60kg sebelum Sukma, atlet berusia 22 tahun itu hanya mengambil sarapan pagi sepanjang tempoh tersebut.

Bagaimanapun, pengorbanannya berbaloi selepas beliau berjaya mempertahankan pingat emas Sukma dalam acara lompat tinggi wanita, selepas melakukan lompatan 1.70 meter (m) di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini, 0.09m kurang daripada catatan terbaiknya.

Atlet kelahiran Pantai Remis itu memberitahu media bahawa beliau telah belajar daripada pengalaman ketika beliau bertanding di Sukan SEA Hanoi, apabila hanya menduduki tempat kelima dengan lompatan 1.65m, dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan sama.

“Sebelum Sukma, berat saya sebelum ini lebih 60kg, jadi jurulatih saya (Aleksandr Gasparyan) arahkan saya untuk turun ke 55kg.

“Selepas ini, saya akan elakkan dari makan terlalu banyak malah tidak akan meraikan kejayaan ini, saya mahu kekalkan berat badan saya. Mungkin saya akan makan satu atau dua kuih tart, tetapi tiadak akan makan dengan banyak,” katanya selepas majlis penyampaian pingat.

Jia Xin pada mulanya mahu mengatasi rekod Sukma 1.75m yang dicatatkan Norliyana Kamaruddin dari Negeri Sembilan pada temasya di Melaka 2010, tetapi tidak melakukannya kerana catatan edisi kali ini tidak akan dikira sebagai catatan rasmi.

Sementara itu pelari jarak jauh Muhammad Ikbolasen Md Kamal Hussain ternyata dalam kelasnya tersendiri selepas memenangi acara 3,000m lari berhalangan lelaki dengan memperbaiki catatan peribadi terbaiknya sendiri.

Atlet berusia 20 tahun dari Cameron Highlands itu mencatatkan masa sembilan minit dan 15.24 saat, melepasi catatan terbaiknya sebelum ini 9:48s dan rekod Sukma 9:20.25 yang dicatatkan Karthik Jayaram pada edisi Melaka 2010.

Atlet Selangor R. Daren James Nair (9:31.48s) dan Lucas Wong Sie Hong (9:43.44s) dari Sarawak masing-masing menang perak dan gangsa.

“Saya amat gembira untuk menang emas kedua (selepas emas 10,000m semalam) dan berharap untuk mendapat emas ketiga pada acara 5,000m esok,” kata Muhammad Ikbolasen.

Semalam atlet Pahang itu menang emas acara 10,000m dengan mencatatkan masa 31:11.62s, jauh lebih baik dari rekod Sukma Pahang 1996 dicatatkan M.Arumugam 31:47.95s, namun catatan itu tidak dikira sebagai rekod kejohanan yang baharu, berikutan kebenaran Majlis Sukan Negara (MSN) membenarkan had umur edisi kali ini dilanjutkan hingga 23 tahun.

Acara wanita pula menyaksikan atlet Johor J. Puspa Letchumy yang mencatatkan 11:52.58s menang emas manakala Esther Joy Chen Hong Li (12:23.32s) dari Selangor dan S. Kothanaayagi (12:48.73s) dari Negeri Sembilan, masing-masing menang perak dan gangsa.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA Sadat Marzuqi Ajisan pula menang emas acara baling tukul besi dengan catatan 60.63m melepasi rekod kejohanan 57.37m yang dilakukan Johnny Ling Siew Hong di edisi Perak 2018.

Jonah Chang Rigan (50.56m) dari Sarawak dan Rizad Azri Che Radzi (46.17m) dari Perlis, masing-masing membawa pulang perak dan gangsa. -Bernama