Jiankun saman pengarah firma hartanah Pulau Pinang, tuntut ganti rugi RM12 juta

LocalBusiness & Finance
5 May 2025 • 9:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jiankun saman pengarah firma hartanah Pulau Pinang, tuntut ganti rugi RM12 juta

image is not available

05/05/2025 - 09:31

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mei — Jiankun International Berhad menyaman dua pengarah pemaju hartanah kerana gagal menyelesaikan urus niaga pemindahan saham di bawah perjanjian pengambilan saham sebanyak RM9.5 juta.


Ia turut menuntut RM12 juta sebagai ganti rugi am dengan satu writ saman serta pernyataan tuntutan difailkan terhadap Lee Khoon Eng dan Lee Phaik Choo sebagai pengarah dan pemegang saham majoriti Oriental Link Properties (M) Sdn Bhd.


Perkara tersebut kata Jiakun, difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 28 April 2025 dengan kedua-dua defendan itu didakwa gagal menyelesaikan proses pemindahan saham walaupun tuntutan dan lanjutan dilakukan berulang kali.


"Mereka berdua juga telah mengenakan pelbagai syarat tambahan yang mengakibatkan berlaku kelewatan secara ketara dan akhirnya kerugian kewangan kepada syarikat," kata Jiankun dalam maklumannya kepada pihak Bursa Malaysia.


Saman tersebut berkaitan proses perjanjian jual beli saham bersyarat yang ditandatangani pada 22 Disember 2023 dengan Jiankun akan memperoleh 99.99 peratus kepentingan ekuiti dalam Oriental Link daripada kedua-dua penjual itu.


Pengambilalihan berkenaan adalah sebagai menandakan kemasukan pemaju itu ke dalam pasaran hartanah wilayah utara Semenanjung Malaysia dan dijangka mampu membuka prospek pembangunan baharu bagi kumpulan tersebut.


Jiankun berkata, ia telah membayar RM3.5 juta sebagai sebahagian daripada pertimbangan pembelian, dan menjangkakan pemindahan 6.27 juta saham dalam Oriental Link akan selesai bagi memulakan aktiviti pembangunan projek.


Dalam pemfailan kepada mahkamah, Jiankun memohon pengisytiharan mahkamah bahawa perjanjian tersebut kekal sah dan boleh dikuatkuasakan, serta pembayaran sebanyak RM3.5 juta telah dibuat mengikut terma yang dipersetujui.


Syarikat itu meminta perintah untuk memaksa defendan menyelesaikan pemindahan saham dalam masa tiga hari dan sebagai alternatif, Jiankun meminta pemulangan RM3.5 juta yang telah dibayar jika mahkamah memutuskan perjanjian itu ditamatkan.


Ia turut memohon perintah mahkamah untuk menghalang pihak defendan daripada menjual atau membebankan saham dalam Oriental Link serta tiga projek hartanah yang berkaitan sementara menunggu keputusan saman tersebut.


Projek berkenaan yang kesemuanya terletak di Pulau Pinang, meliputi Panchor Sanctuary Garden di Nibong Tebal, pembangunan komersial di Lot 334 Jalan Paboi, dan tanah di Jalan Kampung Bukit, Bayan Lepas.


Sebagai tambahan kepada RM12 juta sebagai ganti rugi am, Jiankun menuntut ganti rugi teladan, bersama-sama sebarang relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah manakala e-semakan pertama untuk kes itu dijadualkan pada 21 Mei 2025.


Jiankun yang berpangkalan di Pulau Pinang itu telah mengumumkan cadangan pengambilalihan Oriental Link pada Disember 2023 sebanyak RM9.5 juta untuk dibiayai melalui dana dalaman.


Pemaju hartanah itu terlibat dalam pelbagai pembangunan di negeri ini, termasuk projek Panchor Sanctuary Garden seluas 3.07 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM72.69 juta.


Pada masa itu, Jiankun berkata cadangan pengambilalihan tersebut dijangka meningkatkan prospek pertumbuhannya dan menyumbang kepada hasil dan keuntungan. - DagangNews.com

standard