PLB Engineering jual tanah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada harga RM48 juta

05/05/2025 - 10:11
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 5 Mei - PLB Engineering Bhd menandatangani perjanjian jual beli dengan Telaga Raya Sdn Bhd untuk menjual tanah seluas 80.72 hektar di Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada harga RM48 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PLB berkata, penjualan tersebut adalah sebahagian daripada strategi kumpulan untuk menjana tunai dan merealisasikan nilai tanah pegangan syarikat.
Hasil daripada penjualan itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, sekali gus mengurangkan tahap keberhutangan kumpulan, memperkukuh kedudukan kewangan melalui peningkatan nisbah semasa, serta mengukuhkan aliran tunai dengan mengurangkan kos faedah.
"Berdasarkan harga jualan RM48 juta, penjualan ini dijangka memberikan keuntungan kira-kira RM12.88 juta kepada kumpulan," katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu turut menambah, penjualan itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada modal saham diterbitkan mahupun pemegang saham utama kerana ia akan diselesaikan sepenuhnya secara tunai tanpa melibatkan penerbitan saham baharu.
Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan dan tiada sebarang halangan yang tidak dijangka, penjualan tersebut dijangka selesai sepenuhnya tahun ini.- DagangNews.com
standard




