‘Jika BN-PN bergabung, tak perlu panik, hadapi dengan matang’ – Mat Sabu

LocalPolitics
22 Jul 2026 • 9:43 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Datuk Seri Mohamad Sabu Presiden AMANAH ketika menyampaikan kenyataan mengenai kerjasama BN dan PN serta hala tuju politik PH.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, sebarang perubahan landskap politik termasuk kemungkinan kerjasama BN dan PN perlu diterima dengan tenang dan matang tanpa menimbulkan rasa panik.

“Bang Mat tidak menafikan bahawa jika BN dan PN bergabung, landskap politik boleh berubah. Itu satu hakikat yang perlu kita terima dengan tenang. Kita tidak perlu panik, sebaliknya bersedia menghadapinya dengan matang,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Mohamad Sabu, BN dan PN mempunyai pendekatan politik mereka sendiri dan perkara itu merupakan hak kedua-dua gabungan berkenaan.

Kepentingan rakyat

Katanya, AMANAH bersama Pakatan Harapan (PH) pula akan terus membawa pendekatan yang mengutamakan kepentingan rakyat serta negara berbanding kepentingan parti dan peribadi.

Beliau turut mengingatkan bahawa hubungan antara PAS dan UMNO bukan perkara baharu dalam sejarah politik negara kerana kedua-dua parti itu pernah bekerjasama sebelum ini sebelum berpisah.

“Jika mereka memilih untuk kembali bersama, kita lihat sahaja bagaimana perjalanan itu nanti dan sejauh mana keserasian itu dapat bertahan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus komited memperjuangkan kepentingan Melayu dan memartabatkan Islam menerusi dasar yang memberi manfaat, bukannya melalui pendekatan berasaskan ketakutan.

Baca juga:

Beliau menegaskan PH akan terus mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu serta hak Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, katanya, usaha membina negara yang stabil, maju dan dihormati dunia perlu diteruskan tanpa terperangkap dengan politik berasaskan sentimen serta perpecahan.

Membentuk generasi yang berilmu

Mohamad berkata, generasi Melayu masa kini perlu dibentuk sebagai masyarakat yang berilmu, berintegriti, berdikari serta mampu bersaing dalam bidang teknologi dan ekonomi di peringkat global.

“Membela Melayu bukan dengan mengulang naratif bahawa Melayu sentiasa terancam. Jika kita terus menanam rasa lemah, bila kita nak membina kekuatan?” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab kerajaan adalah membina keyakinan rakyat dan bukannya menyemai ketakutan.

Mohamad turut percaya masyarakat Melayu hari ini semakin matang serta tidak mudah terpengaruh dengan permainan sentimen politik yang berterusan.

Katanya, Melayu yang kuat bukanlah mereka yang hidup dalam ketakutan, tetapi golongan yang berilmu, bermaruah, berintegriti, yakin diri dan berani bersaing dengan sesiapa sahaja.

The post ‘Jika BN-PN bergabung, tak perlu panik, hadapi dengan matang’ – Mat Sabu appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved