‘Jika formula BN-PN ke PRU, seluruh negeri Semenanjung akan berjaya ditawan’ – Fadhli

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 9:42 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini berada dalam kedudukan yang semakin lemah susulan kemenangan besar gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau mendakwa kerajaan PH hanya menunggu masa untuk tumbang dan menyifatkan pembangkang berpotensi mengambil alih peranan di Dewan Rakyat apabila Parlimen dibubarkan kelak.

“Kerajaan PH sudah di hujung tanduk. Hanya menunggu masa untuk jatuh sahaja.
“Apabila Parlimen dibubarkan, barisan PH boleh siap sedia ambil alih kerusi pembangkang,” katanya pada Ahad.
Image from: ‘Jika formula BN-PN ke PRU, seluruh negeri Semenanjung akan berjaya ditawan’ – Fadhli

Foto arkib: FB Fadhli Shaari

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut menyifatkan kerjasama antara BN dan PN yang diterjemahkan dalam PRN Negeri Sembilan sebagai formula kemenangan yang wajar diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, sekiranya kerjasama itu dikekalkan, gabungan tersebut berupaya menawan semua negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Pulau Pinang.

“Jika formula BNPN ini dapat dibawa ke medan PRU, seluruh negeri di Semenanjung Malaysia akan berjaya ditawan termasuklah Pulau Pinang.
“Justeru pimpinan PN dan BN jangan menoleh ke belakang lagi, teruskan dengan formula kemenangan ini. Jangan peduli ajakan ‘bermaafan Hari Raya’ oleh PMX.
“Berkhidmatlah dengan kerajaan sekarang sebaiknya secara profesional menunggu sehingga Parlimen dibubarkan,” ujarnya.

Beliau pada masa sama menggesa penyokong PH menilai semula sokongan mereka menjelang PRU akan datang dengan mendakwa gabungan itu berdepan peluang tipis untuk terus mempertahankan kerajaan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengaitkan isu agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sebagai antara faktor yang menurutnya perlu dipertimbangkan oleh pengundi.

“Penyokong PH perlulah berfikir semula untuk meneruskan sokongan dalam PRU akan datang. Tidak guna menyokong pasukan yang hampir pasti tewas.
“Lagipun ahli Parlimen PH jika ada yang menang tentu sekali tidak akan mohon peruntukan dari kerajaan sebagaimana mereka juga tidak beri peruntukan kepada pembangkang dalam penggal ini. Jadi lebih baik sokong pasukan yang menang dari awal lagi,” katanya.
Image from: ‘Jika formula BN-PN ke PRU, seluruh negeri Semenanjung akan berjaya ditawan’ – Fadhli

Foto arkib: Utusan

Mengulas lanjut, beliau menolak dakwaan bahawa kejayaan BN-PN didorong sentimen perkauman, sebaliknya berpendapat keputusan pilihan raya mencerminkan penolakan rakyat terhadap PH.

Beliau turut menggesa pemimpin PH melakukan muhasabah terhadap punca kekalahan mereka dan tidak menyalahkan pengundi.

“Rakan-rakan dari PH bermuhasabahlah, ada sebab kenapa rakyat menolak anda hari ini.
“Jangan persalahkan kami dengan memomokkan seolah-olah rakyat terpedaya dengan sentimen perkauman. Adakah anda rasa rakyat tidak cerdik?,” ujarnya lagi.

Sumber: Facebook Fadhli Shaari

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved