Menjelang Ramadan, ramai yang mula secara perlahan-lahan mempertingkatkan amal ibadah. Ada juga yang mengambil peluang menunaikan ibadah umrah di Mekah.
Apabila melakukan ibadah tawaf, ramai yang tidak melepaskan peluang merakamkan momen mencium Hajarul Aswad dan menitiskan air mata apabila mereka berjaya melepasi dari kesesakan jemaah lain.
Melihat rakaman momen tersebut seperti trending, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri menegaskan umrah merupakan satu ibadah, bukan pelancongan. Beliau juga menjelaskan antara aktiviti tawaf dan mencium Hajarul Aswad.
UMRAH ADALAH IBADAH, BUKAN PELANCONGAN “KEROHANIAN”
1. Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium hajar aswad juga adalah ibadah. Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium hajar aswad adalah sunat.
2. Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kpd diri sendiri dan…
“Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium hajar aswad juga adalah ibadah. Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium hajar aswad adalah sunat.
“Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, hukum mencium hajar aswad adalah haram. Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari,” tulisnya.
Dalam pada itu, beliau juga meminta individu supaya menghentikan trend rakaman yang menyentuh Kaabah dan Hajarul Aswad. Katanya fokus ketika itu adalah tumpuan untuk ibadah.
“Agak janggal bila ibadah yang suci dan mulia itu dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar, bukan pada masanya. Saya juga lihat perkembangan mutakhir ini, ramai memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau hajar aswad di media sosial. Jika ia hanya sekadar “trend” untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah “trend” yang merugikan itu.
قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. [Surah al-An’am: 162]
“Sewajarnya di hadapan Baitullah, kita fikirkan dosa kita, keampunan daripada Allah, termasuk doa-doa kepada-Nya. Dengan itu sahaja pun kita sudah cukup sibuk tanpa sempat memikirkan masa untuk mencipta content,” katanya.
The post ‘Jika mendatangkan kemudaratan pada diri & orang lain, hukum cium hajarul aswad adalah haram’ – Dr Zulkifli appeared first on The Reporter.


