
‘Jika Saya Khianat Amanah Ini Dengan Salah Guna Kuasa & Terlibat Rasuah, Maka Perbelanjaan Saya Haram Seharam-haramnya’ – Ikrar Calon BN
Calon-calon Barisan Nasional (BN) hari ini berikrar akan berlaku jujur dengan amanah dan kepimpinan yang diberi sekiranya terpilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Demikianlah antara petikan bacaan ikrar yang dilafazkan pada Majlis Pengumuman Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dipimpin oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.
“Kami bersumpah dengan melafazkan wallahi wabillahi watallahi maka dengan lafaz ini berikrarlah saya dengan sesungguhnya dan dengan sebenar-benarnya mengaku selama-lamanya akan taat setia memelihara, melindungi dan mempertahankan kedaulatan perlembagaan dan undang-undang negara Malaysia,” katanya ketika memimpin ikrar berkenaan.
Dalam pada itu, calon BN turut berjanji untuk sentiasa berlaku jujur apabila memegang amanah serta kepimpinan yang diberi.
“Maka setiap seteru kepada negara, adalah seteru juga kepada saya. Bahawa saya juga berbai’ah dan beraku janji dengan jujur menunaikan segala amanah, kepimpinan.
“Dengan mencurahkan sedaya upaya saya untuk mengerjakan keadilan dan kesaksamaan dengan penuh integriti dan kasih sayang,” tambah mereka.
Sedia dihukum jika tidak amanah
Ikrar tersebut turut menegaskan mengenai hukuman yang diterima sekiranya gagal atau khianat dalam amanah yang dikurniakan.
“Jika saya khianat akan amanah yang dikurniakan ini, dengan menyalahgunakan kuasa dengan terlibat dalam rasuah atau menyimpang dalam apa jua bentuk sekalipun untuk mendapat laba dan hasil dunia maka pemilikan dan perbelanjaan yang saya kerjakan itu, adalah haram seharam-haramnya,” ujar mereka lagi.
Sementara itu, calon-calon BN turut mengangkat sumpah untuk mematuhi segala terma yang diberikan dan meletakkan jawatan sekiranya keluar daripada parti.
“Bahawa saya juga berbai’iah dan bersumpah untuk mematuhi segala terma-terma dalam kontrak saya dengan parti sebagaimana yang telah ditandatangani serta akan meletakkan jawatan dari menjadi ahli dewan rakyat apabila saya keluar atau dipecat daripada parti,” kata mereka.
Lafaz terakhir ikrar itu, mereka akan sentiasa mengikat jiwa dan raga dengan setiap lafaz sumpah yang dibuat.
“Maka saya sesungguhnya mengikat jiwa dan raga dengan setiap lafaz sumpah dan bai’ah ini, dengan penuh sedar dan insaf diri, bahawa tiada urusan kehidupan yang terpisah dari pembalasan yang baik dan buruk,” ujar mereka.
Terdahulu, BN telah mengumumkan penamaan calon dan difahamkan sebanyak 222 kerusi diberikan kepada calon yang disenaraikan.
Bacaan penuh ikrar tersebut boleh dirujuk dalam video berikut pada durasi ke 2:19:00.
The post ‘Jika Saya Khianat Amanah Dengan Salah Guna Kuasa & Rasuah, Maka Perbelanjaan Saya Haram’ – Ikrar Calon BN appeared first on Siakap Keli.

