‘Jika suatu hari hati Syuk terbuka, pintu kami sentiasa terbuka’

EntertainmentMusic
2 Nov 2026 • 2:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Jika suatu hari hati Syuk terbuka, pintu kami sentiasa terbuka’

PETALING JAYA – Vokalis kumpulan New Boyz, Tomok reda dan berlapang dada menerima keputusan bekas pemain bass kumpulannya, Syuk yang menolak untuk kembali bersama membuat persembahan.

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 40, menjelaskan bahawa dia menghormati pendirian sahabat lamanya itu walaupun pelbagai usaha telah dilakukan sebelum ini.

“Sahabat saya Syuk bersama New Boyz untuk dua album sebelum dia mengundur diri. Hubungan kami tetap baik dan kami bersahabat seperti biasa.

“Untuk konsert pertama New Boyz pada 2023, saya ada hubunginya tetapi tiada jawapan. Begitu juga dengan konsert kedua, masih tiada respons.

“Bagi konsert kelima ini, saya cuba wawarkan di media sosial dengan harapan ada individu terdekat yang boleh menyampaikan mesej kepadanya selepas perkara ini mendapat liputan media,” katanya menerusi satu perkongsian video.

Tambah Tomok, pelbagai ikhtiar telah dibuat termasuklah berkunjung terus ke kediaman Syuk, namun tetap menemui jalan buntu.

“Semalam, saya dapat tahu Syuk ada memuat naik kenyataan di akaun TikTok miliknya yang menyatakan dia tidak berminat untuk sertai konsert ini, selain mengucapkan selamat maju jaya kepada New Boyz.

“Dia juga ada menghantar mesej peribadi kepada saya selepas sekian lama tidak berhubung. Alasan yang diberikan tetap sama—dia sibuk dengan urusan kerja dan komitmen keluarga,” kongsinya.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Sejarah Mungkin Berulang itu menegaskan pintu untuk Syuk kembali sentiasa terbuka pada masa akan datang.

“Saya hormat keputusannya. Mesej yang disampaikan secara peribadi dan di TikTok adalah sama, jadi tiada masalah bagi pihak saya. Namun, jika suatu hari nanti hatinya terbuka untuk kembali bersama kami, pintu sentiasa terbuka dan hubungi sahaja saya.

“Semua usaha ini dibuat demi mengimbau kenangan bersama para peminat yang membesar dengan lagu-lagu New Boyz,” jelasnya.

Terdahulu, menjelang konsert kumpulan berkenaan yang dijadual berlangsung pada 5 Disember depan, Tomok turut mencari Syuk di kawasan perumahan serta bertemu dengan ibu Syuk meskipun tiada jawapan hingga sekarang.

Menurut Tomok, kehadiran Syuk amat bermakna buat peminat memandangkan pemuzik itu terbabit dalam rakaman dua album terawal New Boyz yang memuatkan beberapa lagu popular kumpulan berkenaan sebelum posisinya digantikan Zack.

Katanya, peminat masih mengharapkan Syuk kembali bersama kumpulan itu, selepas empat konsert terdahulu berlangsung tanpa kehadiran bekas pemain bass berkenaan.

Rentetan itu, Shuk atau nama lengkapnya, Mohd. Syukri Mohd. Shanushi melalui satu posting dalam media sosial berkata, dia sudah tidak berminat lagi untuk menyertai New Boyz selain mendoakan yang terbaik buat Tomok dan rakan-rakan lain. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Jika suatu hari hati Syuk terbuka, pintu kami sentiasa terbuka’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved