'Jika tiada motosikal troli di landasan, mungkin bencana lebih besar berlaku'

4 Mar 2026 • 2:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Motosikal troli yang diletakkan di landasan berjaya memperlahankan kelajuan kereta api yang mengalami masalah brek di Batu 11, Tenom-Pangi pada Selasa.

KOTA KINABALU - Tindakan enam pemuda meletakkan motosikal troli mereka di landasan bagi memperlahankan kereta api yang mengalami masalah brek berjaya mengelakkan bencana lebih besar di Batu 11, Tenom-Pangi, awal pagi Selasa.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, jika tiada motosikal troli diletakkan di landasan, kelajuan kereta api yang tidak terkawal boleh menyebabkan insiden lebih serius.

"Banyak versi cerita yang timbul. Cuma ringkasnya jika tiada enam biji motosikal troli yang diletakkan di landasan, kemungkinan bencana yang lebih besar akan berlaku apabila kelajuan kereta api tidak boleh dikawal oleh pemandu.

"Tahniah juga kepada pemandu kereta api yang tenang dan tidak panik mengawal keadaan. Kedudukan enam biji motosikal tersebut telah berjaya memperlahankan kereta api dan membolehkan pemandu mengawalnya. 

"Terima kasih kepada enam anak muda pemilik motosikal troli dan pemandu kereta api," katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu..

Jamawi turut berkongsi bahawa kejadian itu mendapat perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang prihatin terhadap nasib enam pemuda terbabit.

"Ketua Menteri telah bersetuju untuk menyumbangkan motosikal baharu bagi enam motosikal yang musnah atau rosak.

"Mewakili ke enam-enam anak muda tersebut, saya merakamkan ucapan berbanyak terima kasih atas keprihatinan dan sumbangan ini," katanya.

Selain itu, Jamawi turut menitipkan kata-kata semangat kepada guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi yang terlibat dalam kejadian tersebut.

"Kepada semua guru SK Pangi, semoga tidak lemah semangat untuk terus mendidik anak bangsa di pedalaman. Saya bangga dengan anda semua," ujarnya.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan, beberapa guru dari SK Pangi berdepan detik cemas apabila kereta api yang mereka naiki mengalami masalah brek dan merempuh motosikal troli di landasan tersebut.