Shinkansen Kini Digunakan Sebagai Kereta Api Kargo Di Jepun

WorldBusiness & Finance
11 Feb 2026 • 2:55 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Shinkansen atau lebih dikenali ramai sebagai kereta api peluru mula beroperasi di Jepun pada tahun 1964. Bermula dengan kelajuan 201 km/j, Shinkansen versi terkini Hayabusa boleh beroperasi pada kelajuan 320 km/j. Sejak dari awal, tujuan utama Shinkansen dibangunkan ialah untuk membawa penumpang manusia. Tetapi dengan isu kekurangan pemandu lori yang semakin serius di Jepun, Shinkansen yang membawa kargo sepenuhnya akhirnya diperlihatkan Jumaat lalu.

image is not available

Laluan Shinkansen ini dikendalikan oleh JR East menyabungkan Morioka, di daerah Iwate dengan Tokyo. Kesemua kerusi penumpang dalam gerabak Shinkansen ini dikeluarkan dengan ia digantikan dengan rel untuk meletakkan kargo. Ia terdiri daripada dua gerabak berkuasa dan sehingga tujuh gerabak yang membawa kargo. Perkhidmatan Shinkansen kargo sepenuhnya ini akan memulakan operasi pada 23 Mac depan dengan satu perjalanan dilakukan setiap hari.

Isu kekurangan pemandu lori adalah disebabkan usia tua dan tiada pemandu pelapis mengakibatkan penyelesaian kreatif perlu dicari segera. Antara yang dicadangkan ialah membina rangkaian tali sawat Autoflow-Road sepanjang 500 km yang boleh menggantikan kerja 25,000 pemandu manusia.

Jepun mempunyai sekitar 660,000 pemandu penghantaran pada tahun 2020 tetapi ia akan berkurangan ke 480,000 menjelang 2030. Tidak seperti negara lain, Jepun tidak mahu menggunakan pekerja asing untuk memenuhi keperluan buruh industri tempatan.